January 13, 2016

Reda diuji dugaan berat, jaga tiga ahli keluarga sakit

Rosle (tiga, kanan) menjaga bapa tirinya (tengah) dan ibunya yang terlantar sakit serta anaknya yang OKU serta menghidap penyakit jantung, Syah Syafi (kanan).

JOHOR BAHRU - Walaupun diuji dengan dugaan berat apabila perlu menjaga tiga ahli keluarga yang sakit, seorang bapa tetap reda nasib yang menimpa keluarganya itu.

Menceritakan kisahnya, Rosle Mohamad, 48 berkata, pada mulanya, bapa tirinya, Hashim Abu Hassan, 78, terjatuh di bilik rumah mereka di Taman Dahlia, Tampoi di sini, Julai lepas.

“Akibatnya, ayah mengalami patah antara paha dan punggung di bahagian kaki kirinya dan tidak dapat bergerak seperti biasa, malah ayah turut menghidap kencing manis.

"Lebih memeritkan apabila ibu, Patimah Abu Bakar, 73, kini diserang strok kerana turut jatuh beberapa kali sejak Syawal lalu.

“Kami berusaha macam-macam ikhtiar termasuk berurut dan merujuk di hospital, namun ibu masih belum pulih dan tidak dapat bergerak serta hanya mampu berbaring sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Rosle berkata, dia kini tidak dapat bekerja sejak orang tuanya sakit, selain turut menguruskan anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU), Syah Syafi, 19, belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Rahmat, di sini sejak berpisah dengan bekas isterinya kira-kira 13 tahun lalu.

“Anak saya seorang yang hiperaktif dan turut menghidap penyakit jantung sejak berusia 5 bulan lagi dan pernah menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN), 14 tahun lepas.

“Saya dahulunya bersama ayah berniaga di kedai makan tetapi kedai itu  kini diuruskan sepupu. Dia juga turut membantu menghulurkan bantuan bagi mengurangkan beban kami sekeluarga,” katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga kini bergantung dengan wang pencen bapa tirinya yang juga pesara Hospital Permai berjumlah RM870.

“Dengan wang yang ada, saya berjimat-jimat bayar sewa rumah sebanyak RM450 sebulan, lampin pakai buang untuk ibu dan ayah berjumlah RM200 sebulan, belanja makan dan minum serta bayaran perubatan mereka.

“Sebenarnya ayah ada seorang anak kandung iaitu Khatijah, 55, tapi anaknya itu menghidap kanser tulang dan juga ibu tunggal,” katanya.

Sehubungan itu, bagi mereka yang mahu menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui  akaun Bank Simpanan Nasional 0111841000029081 atas nama Rosle atau menghubunginya menerusi talian 019-7434907.

Semalam, keluarga terbabit menerima sumbangan wang dan tongkat disampaikan Pengerusi Persatuan Prihatin Kempas, Salim Daud.

Turut serta, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diketuai Penolong Pegawai JKM Daerah Johor Bahru, Kamaruddin Karim, yang membantu keluarga tersebut memproses permohonan kepada JKM.

Sinar Harian 11 Januari 2016

0 comments:

Post a Comment