January 24, 2016

Tiga penuntut kita maut di Jordan


Kuala Lumpur: Tiga penuntut Malaysia di Universiti Mu'tah, Jordan, maut manakala dua lagi cedera apabila kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan di negara itu.

Education Malaysia Jordan menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook memaklumkan, lima penuntut itu kemalangan di Mafraq, pada 8.30 pagi waktu Jordan (2.30 petang waktu tempatan).

Katanya, ketika kejadian mereka dalam perjalanan ke Mafraq untuk menghadiri satu program.

"Tiga meninggal dunia manakala dua pelajar cedera. Mangsa yang terselamat masih lagi dirawat di Hospital Mafraq," katanya.

Sementara itu, Keluarga Kesatuan Mahasiswa Malaysia Jordan (KMKJ) memaklumkan dua daripada penuntut yang maut, masing-masing berasal dari Kelantan dan Kuala Lumpur.

"Selepas mengesahkan dengan pihak Hospital Mafraq, kita dimaklumkan tiga yang maut adalah Fatin Iqmal Idziyani Che Aziz, 21; Hana' Azhar, 21, dan Al Najiatun Naila Mohd Safie, 21.

"Dua yang cedera pula adalah Izzam Hassif, 21, dan Fatin Noor Syahirah, 21, yang berasal dari Kelantan serta Negeri Sembilan. Mereka berdua akan dipindahkan ke Hospital Amman.

"Pihak kedutaan dan Education Malaysia Jordan masih berbincang dengan waris mangsa sama ada jenazah dibawa pulang atau tidak," katanya.

myMetro 24 January 2016


'Dia tak sabar nak pulang'

DATUK kepada Hana' (gambar kecil) ketika ditemui wartawan hari ini. FOTO Zaman Huri Isa

Machang: "Arwah cucu memaklumkan kepada neneknya, dia tidak sabar mahu pulang ke kampung kerana sudah empat tahun tidak berjumpa kami selepas menyambung pelajaran di Jordan," kata Salleh Mohd Yusoff, 78, datuk kepada Hana' Azhar, 21, yang maut dalam kemalangan di Mafraq kira-kira jam 8.30 pagi waktu Jordan (2.30 petang waktu tempatan), semalam.

Kejadian itu, tiga pelajar Malaysia di Universiti Mu'tah, Jordan maut, manakala dua lagi cedera apabila kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan.

Salleh ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tok Bok berkata, cucunya itu seorang yang pendiam, namun amat rapat dengannya dan isteri, Badariah Mamat, 71.

Katanya, dia mendapat tahu cucu kesayangannya itu terbabit dalam kemalangan selepas dihubungi menantunya, Hartina Abd Ghani, 47.

"Selepas itu, pada jam 3 pagi, anak saya, Azhar memaklumkan bahawa dia mahu bertolak ke Mesir untuk menuntut jenazah Hana'.

"Saya tidak tahu cucu saya akan dikebumikan di mana kerana masih menunggu panggilan anak," katanya yang reda dengan kejadian itu.

myMetro 24 January 2016


Tak mampu ke Jordan

Kuala Lumpur: Keluarga Fatin Iqmal Idziyani Che Aziz, 21, pelajar Malaysia yang maut dalam kemalangan di Mafraq, Jordan tidak bercadang ke negara itu kerana kurang berkemampuan dari segi kewangan.

Ibu arwah Fatin, Rapidah Mat Rani, 47, berkata, dia sekeluarga akan memantau sebarang perkembangan terbaru melalui wakil pelajar dan pihak Universiti Mu'tah di sana.

"Kami sekeluarga berdoa semoga segala urusan di sana dipermudahkan seterusnya mengharapkan jenazah anak saya dapat dibawa pulang untuk dikebumikan di Lenggong, Perak.

"Kali terakhir saya berhubung dengan arwah pada Jumaat lalu, melalui WhatsApp selepas memberitahu keputusan cemerlang diperoleh adiknya dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK)," katanya ketika ditemui di Flat Seri Selangor, Jalan San Peng, di sini.

Menurutnya, arwah sempat membalas mesej bertanyakan hadiah apa yang dibelinya bagi meraikan keputusan cemerlang itu, sebelum tiada lagi mesej dibalas.

myMetro 24 January 2016


Tidur atas riba, peluk ibu 

Kuala Lumpur: "Arwah tidur di atas riba saya dan peluk saya. Dia manja semacam ketika pulang bercuti Julai tahun lalu.

"Saya juga akan merindui suaranya mengaji. Suaranya yang nyaring dan lantang akan sentiasa terngiang-ngiang di ingatan."

Itu luahan Rapidah Mat Rani, 47, ibu kepada penuntut Universiti Mu’tah, Jordan, Fatin Iqmal Idziyani Che Aziz, 21, yang maut dalam kemalangan di Safawi, tidak jauh dari bandar Mafraq di utara Amman, Jordan, semalam.

Kali terakhir dia menemui anak sulungnya itu ialah pada September tahun lalu ketika menghantar arwah untuk pulang ke Jordan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketika itu, dia tidak sedar mengenai perubahan anaknya, tetapi apabila mendapat berita mengenai kematian, semua kenangan selama 21 tahun bersama kembali diingatannya.

"Sebelum dia pulang pada Julai, dia ada meminta saya memasakkan makanan kegemarannya seperti ayam masak merah. Saya tunaikan ketika dia pulang, cuma saya tidak dapat penuhi permintaannya yang mahukan kek coklat.

"Ketika menuruni tangga di KLIA, kebiasaannya dia akan melambai saya dan adik-adiknya. Bagaimanapun, pada waktu itu, dia terus berjalan tanpa menoleh ke belakang," katanya yang ditemui di rumahnya di Flat Seri Selangor, Jalan San Peng, di sini, petang tadi.

Rapidah menyifatkan, anaknya yang menuntut dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Fiqh Wa Usuluhu di Universiti Mu'tah, Jordan itu seorang yang bersungguh-sungguh untuk memastikan apa yang dimahukan tercapai.

Katanya, anaknya juga suka membantu rakannya yang susah dan tidak cukup wang ketika pengajian, walaupun dia sendiri sebenarnya tidak mempunyai tajaan untuk melanjutkan pengajian di sana.

Menurut Rapidah, buat masa ini dia sekeluarga tidak bercadang untuk ke Jordan atas faktor kewangan, selain anak-anaknya yang lain tiada penjaga.

Dia akan memantau perkembangan mengenai proses penghantaran jenazah anaknya melalui wakil pelajar dan pihak Universiti Mu'tah di sana.

Kali terakhir dia berhubung dengan arwah pada Jumaat lepas, melalui aplikasi WhatsApp untuk memberitahu keputusan cemerlang diperoleh adiknya dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK).

"Kalau boleh kami sekeluarga tidak mahu bedah siasat dilakukan kerana biarlah saya terima jasad anak saya dalam keadaan sempurna untuk dikebumikan di Lenggong, Perak.

"Apapun saya reda dengan ketentuan Allah SWT dan saya mendoakan agar dia menjadi penghuni syurga,"katanya yang menerima berita kematian anaknya pada 6.30 petang semalam.

Dia turut meminta bapa kandung arwah yang kali terakhir berhubung 15 tahun lalu, Che Aziz Che Mahmood, 50-an, agar menghubunginya jika mahu melihat wajah anak perempuannya itu buat kali terakhir.

Kepada sesiapa yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 164043680646 (Rapidah Mat Rani).

myMetro 24 January 2016



Keluarga berhasrat ke Jordan

Seremban: Keluarga seorang pelajar Malaysia di Universiti Mu'tah, Jordan, yang cedera dalam kemalangan jalan raya berhasrat untuk ke negara berkenaan melihat keadaan anaknya itu.

Muhammad Izzam Hasif Anuwar, 21, dikatakan patah tangan kiri manakala tiga rakannya maut dan seorang lagi rakannya turut cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di Mafraq kira-kira jam 8.30 pagi waktu Jordan (2.30 petang waktu tempatan).

Abang mangsa, Muhammad Izzat Syahmi, 24, berkata keluarga dimaklumkan mengenai kejadian menimpa adiknya itu kira-kira jam 6 petang semalam oleh seorang rakan adiknya menerusi Facebook.

"Saya kemudian menghubungi Izzam dan dia memberitahu mengalami kecederaan patah tangan kiri dan cedera kaki kiri serta sudah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan. Ketika itu, saya dapat mendengar suaranya lemah dan dia menangis.

"Setakat ini, kami tidak tahu keadaannya yang terkini dan hanya menunggu maklumat daripada pihak berkaitan dan rakan Izzam," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Seremban 2, di sini, hari ini.

Katanya, bapa Anuwar Baharin, 51, dan ibu Nong Iza Aladdin, 49, sedang berusaha menguruskan visa dan cuti untuk ke Jordan bagi melihat sendiri keadaan anak kedua daripada tujuh beradik itu selain berhasrat untuk membawanya pulang ke Malaysia

myMetro 24 January 2016



Panggilan terakhir Al Najiatun

Tumpat: “Dua hari sebelum kejadian, arwah ada menghubungi saya untuk meminta izin menyertai rombongan Persatuan Pelajar Malaysia ke program keagamaan di Mafraq.

“Namun, selepas itu tidak menerima apa-apa panggilan sehingga dimaklumkan dia terbabit kemalangan ini,” kata Mohd Safie Ismail, bapa Al Najiatun Nailah Mohd Safie, 21, seorang daripada tiga penuntut yang maut ketika dalam perjalanan ke Mafraq, Jordan, kelmarin.

Mohd Safie, 54, yang juga Pengetua Maahad Tahfiz Berangan, Tumpat berkata, anak ketiga daripada enam beradik itu gembira berbual dengannya apabila memberitahu mahu mengikuti program keagamaan.

Katanya, dia juga tidak mengesan sebarang perlakuan pelik anaknya dan memberi keizinan untuknya mengikuti program itu asalkan pandai menjaga diri.

“Saya terkejut apabila menerima panggilan daripada pihak Kedutaan Malaysia di Jordan sekitar 7.30 malam semalam (kelmarin) memaklumkan Nailah kemalangan dan meninggal dunia.

“Ketika itu, saya dan isteri, Rohaizan Omar, 53, dan ahli keluarga lain berada di Terengganu kerana menghantar anak keempat, Al Najiatul Nafahah, 19, yang belajar di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA).

“Kami reda dengan berita kehilangan ini walaupun tidak percaya pada mulanya. Sebagai hamba Allah, kami kena terima, reda menerima ketentuan Allah SWT,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ketika dihubungi, Mohd Safie berada di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dia dan isterinya berlepas ke Amman, Jordan pada 7.50 malam semalam menaiki penerbangan Etihad Airways untuk urusan menuntut jenazah anaknya.

Katanya, dia akan membawa pulang jenazah untuk disemadikan di Sungai Pinang, Tumpat.

Sementara itu, abang kedua arwah, Mohamad Farhan, 22, berkata, adiknya seorang periang dan selalu berhubung dengan mereka adik-beradik menerusi aplikasi WhatsApp.

“Sepanjang berhubung dengannya, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan. Dia sentiasa ceria seperti biasa. Kami terkejut menerima berita kehilangan ini,” katanya.

myMetro 25 January 2016


Soalan pilu seorang adik

Kuala Lumpur: "Kenapa kakak dah meninggal? Kakak dah tak ada?"

Itu antara soalan ditanya Muhammad Addin Muttaqin Ahmad Sabri, 6, adik tiri kepada penuntut Universiti Mu’tah, Jordan, Fatin Iqmal Idziyani Che Aziz, 21, yang maut dalam kemalangan jalan raya di negara itu.

Ketika ditemui di rumahnya di Flat Seri Selangor Jalan San Peng di sini, dia yang mungkin belum memahami mengenai kematian mengakui rindu dengan kakaknya.

Dia juga masih mengingati perbualan terakhir dengan kakaknya ketika arwah pulang bercuti pada Julai tahun lalu.

"Kakak, nak makan nasi," katanya mengulangi perbualannya yang mahu meminta arwah menyediakan makanan untuknya.

Muhammad Addin Muttaqin turut menyifatkan kakaknya yang kadangkala memarahinya kerana tidak mendengar kata sebagai seorang yang pandai memasak.

"Kakak pandai masak, sama juga macam ibu.

"Kakak belajar di Jordan, jauh," katanya.

Sementara itu, seorang lagi adik arwah, Muhammad Iqram Fahmi, 12, berkata, arwah sentiasa berpesan kepadanya supaya belajar bersungguh-sungguh.

"Kakak pesan supaya saya belajar sungguh-sungguh dan rajin. Kakak selalu ajar saya Bahasa Arab dan buat kerja rumah seperti melipat kain, basuh dan gosok baju.

"Kenangan yang paling saya ingat bersama kakak ialah ketika kami belajar bersama-sama di rumah," katanya yang mahu mengikuti jejak langkah kakaknya mendalami ilmu agama di universiti luar negara.

Arwah mempunyai seorang lagi adik tiri perempuan iaitu Fatin Jannatu Adnin Ahmad Sabri, berusia 8 tahun.

Fatin Iqmal, antara tiga penuntut Malaysia yang maut dalam kemalangan di Safawi, tidak jauh dari bandar Mafraq di utara Amman, Jordan, Sabtu lalu.

Sementara itu, ibu arwah, Rapidah Mat Rani, 47, sebak ketika mengingati kembali pertanyaan anaknya mengenai kematian.

"Ibu bangga tak kalau kakak mati fisabilillah?" tanya arwah Fatin Iqmal suatu ketika dahulu.

Kata-kata itu masih terngiang-ngiang di telinganya, namun reda apabila anak yang paling rapat dengannya itu kini sudah tiada.

"Arwah selalu mengadu kepada saya mengenai semua perkara kerana adik-adik masih kecil termasuk berkaitan peribadi.

"Dia selalu beri saya kata-kata semangat dan motivasi, sekarang saya tak ada sesiapa lagi nak luahkan perasaan dan kongsi cerita. Kata- kata, telatah dan perwatakan Fatin tidak mungkin luput daripada ingatan saya sebagai ibu," katanya yang menangis.

Terdahulu, keluarga Fatin Iqmal menerima sumbangan RM10,000 daripada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Al-Habshee.

Sumbangan itu disampaikan Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan, Mohd Rafi Ali Hassan dan Ketua Pemuda UMNO Cheras, Johari Yazid.

Rapidah bersyukur dan berterima kasih kepada pihak yang menghulurkan sumbangan dan mendoakan mereka sekeluarga.

"Alhamdulillah, sumbangan yang saya terima ini saya akan gunakan untuk membayar hutang arwah sekiranya ada.

"Saya juga akan mengupah Umrah atau Haji untuk arwah memandangkan dia pernah berniat untuk menunaikan Umrah ketika cuti tetapi terpaksa dibatalkan," katanya.

Kos keseluruhan urusan membawa pulang jenazah Fatin Iqmal Idziyani disumbangkan oleh Bahagian Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebanyak RM15,000, manakala RM3,000 untuk urusan pengebumian di Lenggong, Perak.

Jenazah tiga mangsa dipindahkan ke Hospital Basyeer di Amman, Jordan bagi urusan penghantaran pulang ke Malaysia melalui penerbangan komersial, sementara dua mangsa yang cedera sudah dipindahkan ke Hospital Al Amir Hamzah.

myMetro 25 January 2016


Mahu tatap wajah cucu kali terakhir

Lenggong: "Jika diizinkan saya mahu menatap wajah Fatin buat kali terakhir selepas jenazahnya tiba untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lubuk Kawah, di sini esok," kata Timah Hussin, 80, nenek kepada arwah Fatin Iqmal Idziyani Che Aziz, pelajar Universiti Mu'tah, Jordan yang maut kemalangan jalan raya di Mafraq, Sabtu lalu.

Timah dari Kampung Banggol Batu, di sini, menjaga Fatin sejak kecil sehingga cucunya itu bersekolah di tahun enam di Sekolah Kebangsaan Lubuk Kawah (SKLK) di sini sebelum diserahkan kepada ibunya, Rapidah Mat Rani di Kuala Lumpur.

Menurutnya, dia dan seorang lagi anaknya, Latipah Mat Rani, 52, yang tinggal bersama bergilir-gilir menjaga Fatin selepas ibunya meminta untuk bekerja di Kuala Lumpur dan mereka amat gembira kerana dapat menjaga Fatin.

“Dia cucu yang baik, suka mengaji al-Quran dan mendengar kata menyebabkan dia mudah pandai belajar. Kami amat sayang kepadanya.

“Untuk persiapan pengebumiannya, makcik serahkan kepada pihak masjid Kampung Banggol Batu sehinggalah jenazahnya selamat dikebumikan nanti,” katanya sebak ketika ditemui di rumahnya petang tadi.

myMetro 26 Jan 2016


Jenazah penuntut Malaysia dijangka tiba esok

(Dari kiri) Fatin Iqmal Idziyani, Hana’ dan Al Najiatun Nailah. FOTO fail NSTP

Kuala Lumpur: Jenazah tiga penuntut Malaysia yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Jordan Sabtu lalu dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 4.25 petang esok.

Menurut laman Facebook rasmi Education Malaysia Jordan, jenazah Fatin Iqmal Idziyani Che Aziz, Hana' Azhar dan Al Najiatun Nailah Mohd Safie, akan diterbangkan dengan pesawat Royal Jordanian RJ185 pada 1.30 pagi esok waktu tempatan (7.30 pagi waktu Malaysia).

Jenazah Hana' dan Al Najiatun Nailah kemudian akan diterbangkan ke Kota Bharu, Kelantan dengan pesawat MH1402 pada 6.25 petang.

Sementara itu, Pegawai Penerangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Wan Ahmad Fadli Shah berkata, jenazah Fatin Iqmal Idziyani akan disolatkan di Masjid Al-Bukhary, Jalan Hang Tuah di sini, sebelum dibawa ke Lenggong, Perak untuk dikebumikan.

Ketiga-tiga penuntut tahun tiga Universiti Mu'tah, Jordan itu maut dalam kemalangan jalan raya di Ashrafiyeh, wilayah Mafraq ketika dalam perjalanan untuk menghadiri satu program keagamaan.

Menurut Education Malaysia Jordan, kerajaan Kelantan dan MAIWP bersetuju membiayai kos penghantaran pulang kesemua jenazah pelajar itu ke Malaysia. - Bernama

myMetro 26 January 2016






0 comments:

Post a Comment