January 24, 2016

Ajal enam beranak di Gua Musang


GUA MUSANG – Enam sekeluarga termasuk tiga kanak-kanak maut apabila kereta Proton Persona yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori treler setelah gagal memotong lori itu di laluan sama dalam kejadian di Kilometer 25, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Rantau Manis di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, dalam kemalangan pada pukul 10 pagi itu, pemandu kereta, Nur Amira Azudin, 23, ibunya Madiah Drani, 48, kakak iparnya Noor Azila Yasin, 27, serta tiga orang anak saudaranya maut.

“Tiga orang anak saudara yang maut itu termasuk anak Noor Azila iaitu Muhammad Hanif Haykal Muhd. Hafiz yang berumur setahun enam bulan serta pasangan kembar Siti Nur Batrisyhah Ab. Rahman dan Siti Nur Raudah masing-masing berusia empat tahun,” katanya kepada pemberita semalam.

Suami Noor Azila yang merupakan abang Nur Amira iaitu Muhd. Hafiz, 30, cedera parah di kepala serta badan dan kini dirawat di Hospital Gua Musang.

Kosmo 24 Jan 2016


Ajal enam sekeluarga

IHSAN pembaca Harian Metro & Bomba dan Penyelamat

Gua Musang: Enam sekeluarga terbunuh selepas kereta dinaiki bertembung dengan lori dalam kejadian di Jalan Gua Musang-Kota Bharu di Gua Sejuk di sini, pagi ini.

Semua mangsa meninggal dunia, termasuk tiga kanak-kanak di lokasi kejadian manakala seorang parah, dalam kemalangan kira-kira 10 pagi.

Semua mayat dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

Difahamkan, semua tujuh mangsa yang menaiki Proton Persona dari arah Gua Musang ke Kuala Krai dikatakan cuba memotong lori sebelum bertembung dengan lain dari arah bertentangan.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Saharmi Harun, berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 10 pagi.

Katanya, enam anggota bersama sebuah jentera dan pacuan empat roda dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi kejadian semua mangsa didapati tersepit di dalam kereta. Kita mengambil lebih 30 minit untuk mengeluarkan semua mangsa sebelum dibawa ke hospital," katanya.

myMetro 23 January 2016


Empat jenazah satu liang

FOTO Ramli Ibrahim

Gua Musang: Empat jenazah mangsa kemalangan di Kilometer 25 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Panggung Lalat, dekat sini, pada 11.40 malam tadi.

Empat jenazah itu adalah Madiah Drani, 48, anak perempuannya, Noor Amira Adzudin, 23, dan dua cucu kembarnya, Siti Badrisha Ab Rahman serta Siti Noraudah, empat tahun.

Dua lagi jenazah iaitu Nur Azila Yasin, 28, (menantu Madiah) bersama anak lelakinya, Muhammad Hadif Haykal Muhd Hafiz, 18 bulan, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Ciku 2.

Keluarga mangsa menuntut enam jenazah yang siap dikafan di Hospital Gua Musang (GHM), pada 10.40 malam.

Kira-kira 300 penduduk kampung dan ahli keluarga hadir di tanah perkuburan di Kampung Panggung Lalat.

Dalam kemalangan kira-kira 10 pagi semalam, enam daripada tujuh sekeluarga maut apabila kereta mereka dari arah Gua Musang menuju ke Felda Ciku 2, bertembung dengan lori tiga tan muatan teh.

Akibatnya enam daripada mereka maut, manakala seorang parah.

myMetro 24 January 2016


Sebak lihat pakaian anak

Gua Musang: “Kehidupan saya takkan sama, semuanya berubah sekelip mata,” kata Nor Ain Syakira Tomin, 19, ibu kepada kembar, Siti Nur Badrisya dan Siti Nur Raudah Abdul Rahman, 4, yang maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 25, Jalan Gua Musang - Kuala Krai dekat Bukit Sejuk, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, pasangan kembar itu meninggal dunia bersama empat ahli keluarga lain iaitu nenek, Madiah Drani, 49, menantunya, Noor Azila Yasin, 28, dan anaknya Muhammad Hadif Haykal, 1, selain anak Madiah, Nur Amira Adzudin, 23.

Mohd Hafiz Adzudin, 30, suami kepada Noor Azila patah tangan kanan dan dirawat di Hospital Gua Musang (HGM), di sini.

Semua jenazah selamat disemadikan masing-masing di Tanah Perkuburan Kampung Panggung Lalat dan Tanah Perkuburan Islam Tanah Rancangan Felda Chiku 2, di sini.

Nor Ain Syakira berkata, kesedihan masih menyelubungi diri dan sukar melupakan tragedi berkenaan.

“Mereka yang pertama dan kedua yang hadir dalam hidup saya. Saya tak tahu bagaimana saya mahu meneruskan kehidupan tanpa mereka.

“Apabila berada di rumah, saya akan sentiasa terkenang kenakalan mereka berdua. Bayangan itu masih segar terutama apabila mereka pergi mengejut begini.

“Saya tak boleh tengok pakaian mereka. Saya sedih,” katanya ketika ditemui pada majlis pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Panggung Lalat, malam kelmarin.

Nor Ain Syakira berkata, walaupun anaknya itu kerap mengunjungi rumah Madiah dan menetap di sana untuk tempoh beberapa hari, mereka akan tetap pulang ke pangkuannya apabila rindu.

Katanya, semua itu tidak akan berlaku lagi dan dia perlu tabah serta reda dengan kejadian itu.

myMetro 25 January 2016



0 comments:

Post a Comment