January 24, 2016

Lelaki maut rempuh lori

FOTO ihsan bomba

Johor Bahru: Seorang lelaki berusia 50-an maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah lori di Kilometer 94.2, Lebuhraya PLUS arah selatan dekat Yong Peng, pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira 5.30 pagi itu, pemandu lori Nissan Diesel seberat 10 tan maut, manakala kelindannya cedera selepas kenderaan berat itu melanggar bahagian belakang sebuah lori Hino di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Bakarya Mohd Salleh berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kemalangan sebaik menerima panggilan kecemasan pada 5.43 pagi.

Beliau berkata, lima anggota bomba bersama sebuah jentera tiba di lokasi kemalangan kira-kira 10 minit kemudian dan terus menjalankan operasi menyelamat dan mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit dalam lori berkenaan.

"Kita mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang mana pemandunya maut dan kelindannya cedera.

"Operasi kemudian ditamatkan jam 7.32 pagi," katanya.

myMetro 24 Jan 2016


0 comments:

Post a Comment