January 31, 2016

Tak duga pulang sendirian

Syed Saleh (dua, kanan) menyerahkan bantuan khairat kematian kepada Kuntom ketika menziarahi keluarga itu di Kampung Meraga Beris, kelmarin. Gambar kecil: Yusoff.

KEMAMAN - “Pergi berdua balik seorang, biarpun rasa sayu, makcik lega sebab sejak suami sakit hingga disemadikan, semuanya diurus Tabung Haji (TH),” kata Kuntom Mamat, 64, isteri kepada jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di Makkah minggu lalu.

Allahyarham Yusoff Mohamad, 62, merupakan jemaah haji Malaysia terakhir menerima rawatan lanjut di Hospital Al-Noor, Makkah, meninggal dunia pada jam 10.50 pagi (waktu Arab Saudi), 25 Januari lalu akibat radang paru-paru.

Bapa lapan anak yang terlantar koma selama empat bulan itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Syara’ek, Makkah pada hari sama.

Pasangan Kuntom dan Allahyarham Yusoff antara jemaah haji Malaysia yang menunaikan haji pada musim haji tahun lalu (1436 Hijrah).

Kuntom berkata, pada awalnya dia sendiri tidak menduga akan pulang seorang diri setelah musim haji berakhir kerana ketika tiba di tanah suci pada 6 September tahun lalu, dia dan suaminya sempat melakukan umrah sunat beberapa kali.

“Tapi menjelang dua hari sebelum wuquf, suami makcik tiba-tiba demam serta sesak nafas dan dimasukkan ke Hospital Tabung Haji, sehari kemudiannya (21 September 2015), dia dipindahkan ke Hospital Al-Noor untuk rawatan lanjut.

“Waktu dipindahkan, suami sudah koma dan bergantung pada mesin sokongan. Hingga habis umur (akhir hayat) dia macam tu,” kata nenek 20 cucu itu.

Terharu layanan terbaik TH

 Kata Kuntom, sepanjang suaminya dirawat, dia terharu atas layanan petugas TH hingga dia dapat mengerjakan ibadah haji dengan sempurna.

Menurutnya, atas nasihat pihak TH juga dia membatalkan hasrat membawa suaminya pulang ke tanah air sebaik tamat musim haji kerana dikhuatiri suaminya menghembuskan nafas akhir ketika dalam penerbangan.

“Makcik diberitahu kalau suami meninggal dalam penerbangan, pesawat kena mendarat di mana-mana negara berdekatan dan jenazah dikebumikan di negara itu, jadi makcik batalkan niat itu.

"Kami juga bersyukur kerana Allahyarham akhirnya bersemadi di Tanah Suci seperti diimpikan. Terima kasih TH yang memberi layanan bagus kepada jemaah Malaysia hinggakan jemaah yang sakit pun diuruskan sepenuhnya.

"Bagi mereka yang bercadang mahu tunaikan haji, makcik cadangkan pergi dengan TH,” katanya kepada pemberita selepas menerima rombongan TH di rumahnya di Kampung Meraga Beris, Kijal, kelmarin.

Pada kunjungan itu, Pengurus Besar Kanan Haji TH, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman yang mengetuai rombongan turut menyampaikan bantuan khairat kematian sebanyak RM1,500 dan air zamzam kepada Kuntom selain sempat mengadakan tahlil bagi pihak Allahyarham di rumah keluarga itu.

TH laksana dua badal haji

 Sementara itu, Syed Saleh berkata, pihaknya akan menunaikan badal haji buat dua jemaah haji yang meninggal dunia selepas wuquf bagi musim haji tahun lalu termasuk bagi pihak Allahyarham Yusoff.

Menurutnya, bagi musim haji lalu, seramai  52 jemaah haji Malaysia meninggal dunia dan daripada jumlah itu, 37 jemaah meninggal dunia di Makkah, lapan di Madinah, lima di Arafah, Muzdalifah dan Mina serta dua lagi jemaah meninggal di Malaysia.

“Daripada 52 jemaah yang meninggal, hanya 14 jemaah tidak sempat melaksanakan ibadah wuquf di Arafah, namun TH telah selesai melaksanakan badal haji untuk 11 jemaah haji yang meninggal dunia sebelum hari wuquf itu termasuk tujuh jemaah yang terkorban akibat runtuhan kren di Masjidil Haram.

“Manakala dua lagi jemaah yang meninggal dunia selepas wuquf, akan kita lakukan badal haji pada musim haji 1437 Hijrah yang akan datang.

"Selain itu dalam musim haji lalu, ada seorang jemaah haji yang sakit dan tidak sempat mengerjakan haji. Jemaah itu akan diberi keutamaan untuk mengerjakan haji musim depan sekiranya kesihatannya di tahap memuaskan,” katanya

Syed Saleh berkata, TH juga berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang memberi perkhidmatan terbaik secara percuma kepada jemaah haji yang sakit dan menerima rawatan di tanah suci sepanjang musim haji lalu.

Sinar Harian 31 Januari 2016


0 comments:

Post a Comment