January 31, 2016

Sudah dua tahun tak sekolah

Nooraini (tengah) bersama anak-anaknya di HSA.

JOHOR BAHRU - “Saya terpaksa berhentikan persekolahan tiga anak sebab tak mampu lagi tampung perbelanjaan mereka ke sekolah walaupun sedar mereka masih mahu belajar lagi,” kata Nooraini Isa, 32.

Menurut Nooraini, sepatutnya tiga anaknya yang berusia 13, 15 dan 16 tahun itu belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Esa Batu Pahat, namun mereka sudah tidak bersekolah sejak dua tahun lalu akibat masalah kewangan dialami.

“Suami saya (Daniel@Zainal Hussin, 40) hanya bekerja di kilang besi dengan pendapatan yang tidak menentu sekitar RM300 sebulan serta perlu tanggung dua anak lagi yang bersekolah di tahun empat dan dua.

“Saya pula tak bekerja kerana perlu jaga tiga anak masih kecil yang berumur 1 hingga 4 tahun,” kata ibu kepada 10 anak ini.

Nooraini berkata demikian ketika menerima kunjungan Adun Iskandar Puteri merangkap Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Inang Sejati dan Penasihat Persatuan Pemuda Puteri Malaya Bersatu (Perimau) Johor, Dr Zaini Abu Bakar bersama isterinya, Rozetta Ariffin.

Turut serta, Presiden Perimau Johor, Mohd Ridhwan Othman dan Pengerusi Guru Muda 1 Malaysia Pasir Gudang, Rozaidi Ramli.

Kunjungan tersebut berikutan anak bongsu Nooraini, Muhammad Adam Fahmi yang berusia 1 tahun 10 bulan dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, kerana melecur 13 peratus selepas terkena air panas minggu lalu.

Pada kunjungan itu, mereka masing-masing menyampaikan sumbangan wang serta barangan keperluan serta bantu membuka akaun bank bagi memudahkan bantuan disalurkan terus kepada keluarga berkenaan.

Pada masa sama turut dibincangkan mengenai persekolahan anak-anak pasangan terbabit yang telah berhenti.

Tambah Nooraini, akibat kesulitan dialami, dia yang sedang hamil lima bulan itu turut menyerahkan dua anaknya kepada orang lain.

“Kami sekeluarga tinggal di rumah peninggalan arwah datuk di Kampung Petani, Jalan Minyak Beku, Batu Pahat walaupun rumah itu dah daif dan perlu dibaiki.

“Pernah juga minta bantuan tapi tak dilayan,” katanya sambil memberitahu tidak pernah mendapat bantuan daripada mana-mana pihak.

Sementara itu, anak sulung Nooraini, Mohd Nastain, 16, berkata, dia berminat untuk sambung belajar dalam jurusan enjin motor di GiatMara jika diberi peluang.

Sinar Harian 31 Januari 2016


0 comments:

Post a Comment