January 31, 2016

Wanita maut, dua kereta bertembung


Keadaan kedua-dua kereta yang terbabit kemalangan remuk teruk menyebabkan seorang wanita maut

BATU PAHAT – Seorang wanita maut ketika sedang menerima rawatan selepas terbabit dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 30.5, jalan Kluang-Batu Pahat, sekitar jam 6 petang, kelmarin.

Mangsa, Noradilah Kasim, 33, disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini, pada 8.25 malam akibat mengalami kecederaan serius.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Kancil dipandu mangsa dari arah Batu Pahat menuju ke Kluang hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

"Bagaimanapun kereta Perodua Axia dari arah Kluang ke Batu Pahat tidak sempat mengelak dan bertembung dengan kenderaan dipandu mangsa.

"Akibat pertembungan secara berdepan itu, kedua-dua kenderaan tersebut remuk teruk," katanya.

Din berkata, pemandu kereta Perodua Kancil terbabit mengalami kecederaan parah di anggota badan dan dihantar ke HSNI.

Menurutnya, bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan dan mayat diserahkan ke Unit Forensik HSNI untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada warisnya.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian 30 Januari 2016

0 comments:

Post a Comment