January 13, 2016

Penjenayah parah kena tembak


KUALA LUMPUR – Tindakan dua lelaki menyerang seorang ahli perniagaan bergelar Datuk mengundang padah apabila salah seorang daripada mereka parah ditembak oleh seorang pengawal peribadi di sebuah warung di Jalan Empat, Jalan Chan Sow Lin di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa dikatakan sedang bersarapan bersama seorang rakannya yang juga bergelar Datuk serta ditemani seorang pengawal peribadi sebelum didatangi dua lelaki warga tempatan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner, Chong Kok Sin berkata, dua lelaki terbabit kemudian bertindak menetak mangsa menggunakan dua bilah parang pada kepala dan badan mangsa.

“Pengawal peribadi tersebut kemudian bertindak melepaskan tujuh das tembakan menggunakan sepucuk pistol jenis Glock 99 ke arah salah seorang suspek bagi mempertahankan mangsa.

“Suspek yang terkena tembakan rebah manakala rakannya berjaya melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan pa­cuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki yang juga rakan mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Kosmo 12 Jan 2016


Pistol pengawal peribadi dirampas

Kuala Lumpur : Pistol milik pengawal peribadi ahli perniagaan bergelar Datuk yang terbabit dalam kejadian tembakan di Jalan Empat, off Jalan Chan Sow Lin, Isnin lalu dirampas buat sementara waktu untuk tujuan siasatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa berkata, meskipun pengawal peribadi berusia 20an itu memiliki lesen menggunakan senjata api namun siasatan masih dijalankan.

Katanya, polis sedang menyiasatnya ekoran daripada tindakan dia melepaskan tembakan yang mengenai seorang suspek yang cuba menetak ahli perniagaan dan orang awam.

"Kami sudah merakam keterangan pengawal peribadi berkenaan dan pistolnya jenis Glock 19 juga sudah dirampas untuk tujuan siasatan.

"Kejadian berkenaan dipercayai berpunca daripada persaingan perniagaan dan keterangan suspek pula akan diambil selepas dia stabil dan mampu bercakap," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Eksekutif dan Pengarah Perkhidmatan Polis Sekretariat Aseanapol di sini, hari ini.

Dalam kejadian 9.30 pagi Isnin lalu, seorang penjenayah cedera ditembak di dada sejurus menyerang ahli perniagaan barangan lusuh dan logam bergelar Datuk yang bersarapan.

myMetro 13 Jan 2016

0 comments:

Post a Comment