January 31, 2016

Maut terpelanting dalam sawah kering

Seorang pemandu bas ekspres sempat memberikan nasihat kepada anaknya supaya berhati-hati menunggang motosikal sebelum mangsa terbunuh dalam kemalangan di Kampung Sungai Baru, Utan Aji di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.20 malam, Muhammad Khairul Anuar Zulkefli, 11, mati akibat parah di kepala selepas motosikal scrambler Demak 250 ditunggang terbabas ke dalam sawah kering hingga melambung.

Sebelum itu , mangsa bersama rakan yang turut menunggang motosikal sama meniti laluan lurus di kawasan sawah berhampiran rumah.

Bagaimanapun, Khairul Anuar yang tidak bertopi keledar mengejar rakannya kerana ketinggalan di belakang sebelum terbabas dan terpelanting serta tidak sedarkan diri.

Bapa mangsa, Zulkefli Ismail, 41, berkata, ketika kejadian, dia tidur sebelum bertugas memandu bas ke Kluang dan Batu Pahat, Johor pada malam itu.

“Saya bergegas ke tempat kejadian selepas diberitahu rakannya. Ketika itu dia masih bernafas dan saya terus menghantarnya ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), namun dia disahkan meninggal dunia selepas tiba di hospital,” katanya.

myMetro 30 Jan 2016


Murid tahun lima maut scrambler ditunggang terbabas

KANGAR - Seorang murid lelaki Tahun Lima maut selepas motosikal scrambler ditunggangnya terbabas ke dalam sawah di Kampung Sungai Baru, Utan Aji di sini, semalam.  

Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Superintendan Zaini Talib berkata Muhammad Khairul Anuar Zulkefli, 11, murid Sekolah Kebangsaan Utan Aji, meninggal dunia di tempat kejadian.  

"Mangsa menunggang motosikal bapanya seorang diri melalui jalan sawah dan terjatuh apabila tidak dapat mengawal jentera tersebut dalam kejadian kira-kira 7.10 petang itu," katanya kepada Bernama, hari ini.  

Beliau berkata mangsa dipercayai terpelanting jauh berdasarkan kedudukan mayat dengan motosikal kira-kira 10 meter.  

Zaini berkata murid itu yang tidak memakai topi keledar mengalami kecederaan parah di kepala dan mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah di sini, untuk bedah siasat.

Sementara itu, ibu mangsa Rosiah Muda, 41, berkata ketika kejadian beliau dan suaminya Zulkefli Ismail, 41, berada di rumah sebelum terdengar jiran berteriak memberitahu anaknya pengsan selepas terjatuh daripada motosikal.  

"Saya menyangka dia hanya pengsan tetapi sebenarnya dia sudah di hujung nyawa ketika itu. Saya sempat menyebut nama dia sebelum dia menghembuskan nafas terakhir," katanya.  

Rosiah berkata anak bongsu daripada tiga beradik itu sepatutnya menghadiri Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di sekolah, namun meminta izin untuk tidak menghadiri kelas berkenaan pada hari kejadian itu. - Bernama

29 Jan 2016

0 comments:

Post a Comment