January 13, 2016

Ibu bayi masalah usus terharu ramai prihatin


Muhammad Zaiqif Iskandar perlu penjagaan rapi daripada Siti Noriana untuk mengelak jangkitan kuman.

PASIR GUDANG - Ibu bayi yang menghidapi masalah usus di Kampung Plentong Tengah, di sini, terharu dengan keprihatinan orang ramai menyalurkan sumbangan.

Siti Noriana Mohd Napian, 30, berkata, bayaran dua kali pembedahan bayinya, Muhammad Zaiqif Iskandar Zainudin berusia 2 bulan, yang tertunggak hampir RM400 sebelum ini, diselesaikan Umno Bahagian Pasir Gudang, minggu lalu.

Menurutnya, jumlah sumbangan yang terkumpul sehingga kelmarin mencecah RM4,000, membuatkannya sebak dengan sikap pemurah rakyat Malaysia.

“Alhamdulillah, syukur sangat kerana penderitaan bayi saya mendapat perhatian banyak pihak.

“Sumbangan ini melegakan saya kerana sebelum ini saya buntu memikirkan sumber kewangan untuk menampung kos perubatan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Siti Noriana berkata, dia menunggu senarai berserta kos ubat diperlukan untuk mencuci usus dan perut bayinya bagi tempoh sebulan daripada pihak farmasi untuk diserahkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (Maij).

Menurutnya, dia juga terharu dengan inisiatif Pekida Zon Pandan yang melancarkan tabung kutipan derma untuk membantu bayinya.

“Terima kasih kepada Sinar Harian, Umno Pasir Gudang, Pekida Zon Pandan dan semua yang hulurkan sumbangan.

“Saya akan gunakan wang sumbangan ini sebaik mungkin,” katanya.

Sinar Harian 6 Januari lalu menyiarkan kesempitan hidup sebuah keluarga lima beranak selepas anak ketiga yang dilahirkan November tahun lalu mengalami masalah usus.

Selain perlu jalani pembedahan kali ketiga selepas menginjak setahun, Siti Noriana perlu menyediakan kos perubatan barangan usus termasuk tiub dan barang mencuci perut serta lampin pakai buang sepanjang usus besar berada di luar perut sehingga bayinya berumur setahun.

Bagi yang ingin membantu meringankan beban Siti Noriana, boleh menyalurkan bantuan melalui akaun CIMB Zainudin Abas 7043740327.

Sinar Harian 12 Januari 2016

0 comments:

Post a Comment