January 13, 2016

Derita bayi baru lahir

NOORDINI (kanan) dan Mohd Mustafa bersama Muhammad Amin yang mengalami masalah organ dalaman.

Jelebu: “Sebaik anak saya dilahirkan, dia tidak menangis dan doktor membawanya ke Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi pemeriksaan lanjut dan mendapati dia mengidap masalah organ terutamanya jantung,” kata Noordini Ismail, 37, ibu Muhammad Amin Mohd Mustafa berusia sebulan.

Anak keduanya lahir secara songsang melalui pembedahan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban, 23 November 2015.

“Selepas pemeriksaan, doktor menyatakan Amin mempunyai masalah organ dalaman dan perlu dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur bagi pemeriksaan lanjut.

“Memandangkan tempat di sana penuh, Amin diletak di ICU HTJ selama 26 hari dengan bantuan mesin oksigen bagi melancarkan penafasannya,” katanya ditemui di kediamannya di Kampung Chennah, Jelebu, di sini, semalam.

Menurutnya, pada 1 Disember lalu, Amin dibawa ke IJN bagi pemeriksaan rapi sebelum doktor mengesahkan menghidap jantung berlubang, saluran penafasan tersumbat selain hati, perut dan jantung tidak berada di tempat sebenar.

“Keadaan itu menakutkan saya dan suami, Mohd Mustafa Kamal, 29, mengenai nasib anak kami yang berdepan pelbagai risiko ketika usia masih bayi.

“Namun doktor menyatakan, pihaknya akan menjalankan pembedahan secara berperingkat bersesuaian dengan keadaan tubuh Amin,” katanya.

Noordini berkata, pembedahan pertama dilakukan 18 Disember lalu bagi melancarkan saluran penafasannya.

“Pembedahan itu menelan belanja RM32,000 manakala kos rawatan dan ubat RM29,683, namun atas keprihatinan pihak IJN, mereka hanya menyuruh kami membayar pendahuluan RM500 terlebih dahulu.

“Apa yang membimbangkan adalah pendapatan suami sebagai pembantu kedai pungutan getah hanya RM800 sebulan dan tidak mencukupi bagi menampung keseluruhan kos pembedahan, rawatan serta ubat berkenaan.

“Amin bakal menjalani pelbagai pembedahan selepas ini. Bagaimana kami ingin mengumpul dana bagi keseluruhan kos berkenaan,” katanya.

Noordini berkata, suaminya turut menyara dua lagi anak tirinya berusia 19 dan 17 tahun.

Orang ramai ingin menyalurkan bantuan boleh memasukkan wang ke akaun Public Bank bernombor 4-7823452-02 atas nama Mohd Mustafa Kamal atau menghubunginya di talian 019 697 5542.

myMetro 12 Januari 2016



0 comments:

Post a Comment