January 21, 2016

Dua pelajar SMK Mahmud maut


Mayat salah seorang mangsa terbaring selepas berlanggar dengan sebuah bas ekspres.

RAUB – Dua rakan maut selepas motosikal yang dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah bas ekspres di Simpang Krau, Kilometer 357 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu di sini, petang kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam  3.30 petang itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahmud, Muhammad Jamal Arif Muzafar Jamri, 17, yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dan rakannya Mohamad Rizuddin Md. Sarit, 17, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Zahari Wan Busu berkata, pemandu bas, Razali Mamat, 57, dan tujuh penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggangi mangsa keluar dari simpang arah Felda Krau tanpa berhenti sebelum melanggar bas ekspres yang datang dari arah bandar Raub.

“Akibat kejadian, bas itu hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat manakala penumpang bas difahamkan meneruskan perjalanan menaiki bas gantian.

“Kemalangan yang meragut nyawa penunggang dan pembonceng itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis turut mengambil keterangan pemandu bas untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca nahas itu,” katanya.

Sinar Harian 19 Jan 2016

0 comments:

Post a Comment