January 21, 2016

‘Jaga ayah selagi kudrat ada’

Siti Sarah tabah menjaga bapanya yang lumpuh disebabkan penyakit gaot.

SABAK BERNAM – “Selagi kudrat masih ada, saya tetap berusaha jaga ayah seadanya walaupun kekangan wang ringgit,” demikian kata, Siti Sarah Azumi, 26,  selepas bapanya, Azumi Sarikin, 55, lumpuh seluruh badan akibat diserang gout sejak empat tahun lalu.

Siti Sarah berkata, tugas dan tanggungjawab menjaga Azumi yang juga bekas siak Masjid Al-Fitrah Kampung Banting dipikulnya setelah ibunya meninggal dunia tahun yang sama selepas bapanya tidak lagi mampu berjalan.

Katanya, segala keperluan bapa seperti mencuci najis, mandi, memakai pakaian, makan dan minum diuruskannya bersama suaminya, Khairul Anuar Ahmad Keliwan, 30, di rumah mereka di Kampung Banting.

“Dah lali urus bapa tiap hari. Saya tahu, ayah jaga kami dengan penuh kasih sayang masa kami kecil. Dah besar, tak kan nak tengok ayah tanggung derita sendirian? Bantulah apa yang patut, jauh di sudut hati, saya simpati dengan nasib ayah,” katanya.

Bagaimanapun Siti Sarah berkata, kasih sayang sebagai anak sahaja tidak mencukupi memandangkan kos perbelanjaan bapanya itu tinggi kerana memerlukan lampin pakai buang dan tisu mengelap najis setiap hari dan ubat-ubatan sampingan lain.

“Kalau nak ikut gaji suami yang kerja ambil upah kait kelapa sawit memang tak cukup nak tampung semua perbelanjaan ni. Saya beli apa yang perlu saja, asalkan ayah selesa,” kata anak kedua daripada empat beradik itu.

Malah, katanya, adik bongsunya, Mohd Ishak, 22, dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) kerana mengalami masalah lembam dalam pelajaran.

Katanya, abang sulungnya, Mohd Omar, 28, dan adik ketiganya, Siti Hajar, 24, ada membantu dari segi kewangan dan kudrat, namun masing-masing sudah berkeluarga dan mereka bukanlah hidup senang.

“Abang saya kerja sebagai pengawal keselamatan. Adik (Siti Hajar) pula tak kerja. Mereka pun ada tanggungjawab masing-masing. Tak tahu nak mengadu kat siapa lagi masalah kami ini,” katanya.

Menurutnya, dia pernah memohon bantuan kewangan bulanan dan baik pulih tandas rumahnya daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS), namun sehingga kini bantuan masih belum diluluskan.

“Dua kali saya ke LZS mohon bantuan. Kali pertama tak lulus atas alasan ayah bukan warga emas, manakala kali kedua mereka tolak atas alasan rekod perubatan ayah tak disertakan semasa permohonan,” katanya.

Selain itu, katanya, bapanya itu bukan saja berdepan dengan masalah kesihatan fizikal, malah sejak lebih setahun lalu, Azumi seolah-olah hilang ingatan dan tidak mampu bercakap seperti sebelum ini.

“Masa ayah muda dia pernah kemalangan jalan raya. Mungkin sebab tu juga keadaan ayah makin teruk. Nak bawa ayah ke mana-mana memang susah sebab dia tak mampu lagi bergerak,” katanya.

Sinar Harian 19 Jan 2016

0 comments:

Post a Comment