January 21, 2016

Bersyukur ramai prihatin

NOOR Halimaton menunjukan luka pada tubuh anaknya.

Pasir Gudang: “Hampir 50 individu menghubungi saya bagi melihat sendiri luka dan penderitaan Muhammad Hazreel.

“Saya minta maaf kerana tidak dapat memenuhi permintaan mereka,” kata Noor Halimaton Hashim, 35, ibu kanak-kanak lelaki lima tahun yang menghidap Epidermolysis Bullosa (EB) atau kulit gelembung air dan mudah melecur.

Menurutnya, ia berikutan anak bongsunya itu, Muhammad Hazreel Mikhail Hizar mudah terkena jangkitan kuman, sekali gus terpaksa mengehadkan kunjungan orang ramai ke rumahnya di Blok B, Tasek 64, Bandar Seri Alam, di sini.

“Bagaimanapun, saya berterima kasih dan bersyukur atas keprihatinan orang ramai yang menghubungi dan mengambil berat berkaitan Muhammad Hazreel.

“Ada yang berminat untuk mengunjunginya kerana berasa pelik dengan penyakitnya yang jarang berlaku.

“Apa pun saya dan suami amat menghargai mereka dan berharap mereka berdoa untuk anak kami meneruskan kehidupan dalam keadaan lebih selesa,” katanya.

Noor Halimaton berkata, pihaknya turut menerima sumbangan daripada orang ramai yang akan digunakan bagi menampung keperluan anaknya itu.

Menurutnya, keluarganya juga menerima bantuan segera daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), baru-baru ini.

“Wakil MAIJ ada mengambil maklumat dan meminta kami menyediakan senarai harga barangan keperluan anak kami dalam usaha membantu kami.

“Kami bersyukur dan berharap kehidupan anak kami lebih selesa biarpun penyakitnya dikatakan tiada peluang untuk pulih sepanjang hayat,” katanya.

Pada 15 Januari lalu, akhbar ini mendedahkan penderitaan yang dialami Muhammad Hazreel sejak dilahirkan.

Pada setiap hari, ada saja luka baru di tubuh Muhammad Hazreel dan ibunya memecahkan gelembung berair dengan gunting bagi mengelak lukanya membesar.

myMetro 20 Jan 2016



0 comments:

Post a Comment