January 22, 2016

Dua beranak rentung dalam kebakaran di Balik Pulau


Rumah mangsa mangsa hangus dijilat api, dua beranak (gambar kecil) ditemui rentung.

BALIK PULAU - Dua beranak ditemui dalam keadaan rentung selepas terperangkap dalam kejadian kebakaran melibatkan dua buah kediaman di Kampung Nelayan Teluk Kumbar di sini hari ini.

Mayat, Nazri dan anaknya, Damia berusia dua bulan dijumpai pasukan Bomba dan Penyelamat di dua bahagian berasingan di kediaman dua tingkat itu kira-kira pukul 3 pagi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Lai Fah Hin ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi mengesahkan laporan kejadian berlaku.

Menurutnya, kedua-dua mayat mangsa kini berada di Hospital Balik Pulau untuk dibedah siasat. - K! ONLINE

Kosmo 22 Jan 2016


Dua beranak rentung 

Balik Pulau: Dua beranak rentung dalam kebakaran di Kampung Nelayan, Teluk Kumbar, di sini, pagi tadi.

Mangsa, Nazri Zainal Abidin, 29, dan bayi perempuannya, Damia Auliah Salsabila, tiga bulan, maut selepas gagal menyelamatkan diri dalam kejadian itu.

Manakala lima ahli keluarga lain termasuk isteri mangsa sempat menyelamatkan diri dalam kebakaran rumah dua tingkat itu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau, Norashikin Md Isa berkata, pihaknya mendapat panggilan pada 2.17 pagi dan tiba di lokasi 20 minit kemudian.

"Api dapat dikawal pada 2.47 pagi dan mangsa pertama ditemui pada 2.50 pagi. Mangsa kedua ditemui pada 4.32 pagi selepas api dipadam sepenuhnya.

"Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

myMetro 22 Jan 2016


Dua beranak dikebumikan dalam satu liang

Balik Pulau: Dua beranak yang rentung dalam kebakaran di Kampung Nelayan, Teluk Kumbar, pagi ini, dikebumikan dalam satu liang.

Jenazah Nazri Zainal Abidin, 29, bersama bayi perempuannya, Damia'ulaiyyah Salsabila, tiga bulan, dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Masjid, Teluk Kumbar, Bayan Lepas, petang ini.

Allahyarham Nazri dan bayi perempuannya itu tiga bulan, maut selepas gagal menyelamatkan diri dalam kebakaran itu manakala lima ahli keluarga lain termasuk isterinya, Rosshina Abd Latif, 24, sempat menyelamatkan diri.

Sementara itu, ibu mentua mangsa, Che Gayah Mat Rawi, 76, yang ditemui Bernama, berkata dia tersedar dari tidur selepas terdengar bunyi bising di luar rumah dan orang menjerit memberitahu berlaku kebakaran.

“Selepas dengar bunyi orang menjerit api api, mak cik terus bangun dan gerak (kejutkan) tiga cucu lelaki yang sedang tidur dengan mak cik di bilik bawah sebelum kami ambil kunci rumah dan keluar menyelamatkan diri,” katanya.

Katanya selepas itu, anak perempuan dan menantunya yang tidur di bilik di tingkat atas rumah mereka keluar menyelamatkan diri sebelum mangsa masuk semula ke dalam rumah selepas menyedari bayinya tertinggal.

“Ketika itu, api sudah marak dan membakar keseluruhan rumah saya dan jiran sebelah rumah memberitahu, menantu saya yang masuk untuk selamatkan anaknya tidak keluar dan kami mula rasa tidak sedap hati.

“Anak perempuan saya cuba untuk masuk tetapi pihak bomba menghalang dan tidak benarkan sesiapa masuk kerana api sedang marak. Mak cik sedih sangat bila melihat bomba keluarkan mayat menantu dan cucu mak cik,” katanya.

myMetro 22 Jan 2016


0 comments:

Post a Comment