January 22, 2016

Gelabah jadi popular

SUSPEK membawa lari motosikal mangsa keluar dari kondo berkenaan.

Ampang: Gelabah gambar wajahnya disebar di media sosial menyebabkan seorang penjenayah memulangkan kembali motosikal berkuasa tinggi dicuri kepada mangsa.

Suspek berusia 20-an itu dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mencuri sebuah motosikal berkuasa tinggi di Kondominium The Element di sini, pada jam 1.25 petang kelmarin.

Pemilik, Mohd Zubair Zainal, 29, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu apabila mahu menggunakan motosikal model Aprilia RS125 berkenaan.

“Saya terkejut apabila melihat motosikal saya ‘lesap’ sebelum segera melihat rakaman CCTV di pejabat keselamatan kondominium didiami.

“Melalui rakaman itu, dua lelaki dilihat muncul dengan menaiki sebuah motosikal berkuasa tinggi sebelum memasuki kediaman ini,” katanya.

Menurutnya, suspek dilihat cuba mencuri sebuah motosikal berkuasa tinggi model Ducati di tingkat tiga terlebih dahulu sebelum mencuri motosikal miliknya.

“Melalui rakaman CCTV itu, suspek mengambil masa hampir sejam untuk mencuri motosikal di tingkat tiga kediaman, namun tidak berjaya.

“Mungkin kerana gagal mencuri motosikal itu, suspek beralih tumpuan terhadap motosikal saya,” katanya.

Susulan itu dia menyebarkan gambar wajah suspek di media sosial dan meminta bantuan orang ramai menjejaki penjenayah itu.

“Mungkin kerana panik, suspek memulangkan kembali motosikal saya sekitar jam 4.20 petang semalam.

Motosikal itu ditinggalkan di hadapan kondominium dan disedari pengawal keselamatan.

“Bagaimanapun laporan sudah dibuat di balai Polis kajang berhubung kejadian itu,” katanya.

myMetro 22 Jan 2016



0 comments:

Post a Comment