December 1, 2015

Wanita warga emas mati ditumbuk

Ampang Jaya: Seorang wanita warga emas ditemui mati dipercayai dibunuh dalam kejadian di rumahnya di Taman Melawati petang tadi.

Mayat mangsa berusia 66 tahun itu ditemui penghuni lain yang menyewa di kediaman wanita terbabit pada jam 6.15 petang sebelum menghubungi polis.

Difahamkan, mangsa meninggal dunia akibat ditumbuk beberapa kali di bahagian muka.

Ketua Polis Daerah Ampang, Senior Asisten Komisioner Khairuddin Saad, yang mengesahkan kejadian ketika dihubungi, memberitahu pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengetahui motif kejadian.

"Polis masih menjalankan siasatan dan kita percaya mangsa meninggal dunia akibat dibunuh. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Katanya, mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

myMetro 30 November 2015

0 comments:

Post a Comment