December 1, 2015

Tiga rakan lemas bersama

Joshnuel anak Usin, 9, Joe Jerry Primusm, 12, dan Remmy Julian Anak Usin, 14, yang hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Puyoh, Sungai Besi, petang tadi.

Sungai Puyuh di depan Kem Tentera Sungai Besi, tempat tiga kanak-kanak terjatuh dan dipercayai lemas. Anggota tentera kem itu turut membantu operasi mencari mangsa oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam dan Skuad Bencana DBKL hingga sekarang. - ZULFADHLI ZULKIFLI.

Kuala Lumpur : Kegembiraan lapan rakan memancing ketika cuti sekolah berakhir tragedi apabila tiga daripada mereka lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Puyuh di hadapan Kem Tentera Sungai Besi, kira - kira jam 6 petang tadi.

Bapa seorang daripada mangsa, Sarjan Primus Adrim, 40, ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, dia menerima panggilan daripada rakannya pada jam 6.30 petang.

"Dua anak saya termasuk mangsa sedang memancing bersama beberapa rakannya apabila terjatuh ke dalam sungai itu. Abangnya, Dennylson, 13, hanya sempat menyelamatkan seorang rakan tetapi tidak sempat menarik adiknya.

"Arus sangat deras ketika itu dan dalam sekelip mata ketiga - tiga mereka hanyut dibawa arus deras," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Tentera, Jabatan Pertahanan Awam dan Skuad Bencana DBKL sehingga sekarang.

myMetro 30 November 2015


3 rakan lemas gagal ditemui

Kuala Lumpur : Operasi mencari dua kanak-kanak dan seorang remaja lelaki yang dikhuatiri lemas ketika memancing di Sungai Puyoh berdekatan Kem Sungai Besi, masih diteruskan sehingga jam 11.30 malam tadi.

Komander Operasi Kanan Penolong Penguasa Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besi C. Arul Chselven berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, tujuh kanak-kanak dan seorang remaja memancing di sungai berkenaan.

"Tiba-tiba arus deras datang dan menghanyutkan semua mangsa namun lima mangsa terselamat kerana sempat berpaut pada tebing sungai.

"Sehingga sekarang tiga mangsa iaitu Joshnuel anak Usin, 9, Joe Jerry Primusm, 12, dan Remmy Julian Anak Usin, 14, yang dipercayai lemas, masih belum ditemui dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata operasi SAR membabitkan 21 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besi.

"Setakat ini bomba membuka dua kawasan ‘staging’ sepanjang dua kilometer di sepanjang sungai berkenaan," katanya.

Tiga lokasi pencarian diberi tumpuan iaitu Sungai Krayong, Sungai Raya Permai dan Kolam The Mines.

myMetro 1 Disember 2015


Penyelam GGK dikerah cari budak lemas

Mastika Madjil, ibu kepada Joshneul Hussin ditenangkan ahli keluarga dan rakan ketika menunggu operasi mencari dan menyelamat anaknya di Kem Perdana Sungai Besi. - FotoKHAIRULL AZRY BIDIN

Kuala Lumpur: Empat belas anggota penyelam daripada Gerup Gerak Khas (GGK) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikerah melakukan misi mencari dan menyelamat dua lagi kanak-kanak yang dikhuatiri lemas di Sungai Kuyoh, berhampiran Kem Perdana Sungai Besi, di sini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pasukan penyelam terbabit sedang diatur gerak ke lokasi kejadian dan usaha mengesan dua lagi mangsa berusia 10 dan 12 tahun masih diteruskan.

"Saya memahami perasaan ahli keluarga yang mengharapkan sesuatu daripada usaha kita ini. Saya sudah meminta mereka agar jangan menghentikan operasi dan menyelamat serta berusaha melakukan sesuatu.

"Semua agensi sedang bertungkus lumus mengesan mereka (mangsa)," katanya dalam sidang media selepas melakukan tinjauan di lokasi kejadian di sini, sebentar tadi.

Hingga kini hanya mayat seorang mangsa, Remmy Julian anak Raymond Joe, 14. ditemui pasukan mencari dan menyelamat pada jam 10.30 pagi tadi.

myMetro 1 Disember 2015


Operasi SAR kesan tiga mangsa lemas diteruskan

KUALA LUMPUR - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua kanak-kanak dan seorang remaja lelaki yang hilang dibawa arus deras ketika sedang memancing di Sungai Puyoh berdekatan Kem Perdana Sungai Besi, di sini, semalam diteruskan pagi ini.

Mangsa yang terlibat dan dipercayai lemas dalam kejadian itu ialah Remy Julian Raymond Joe, 14, Joe Jerry, 12, dan Josnual Usin, 9.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata operasi SAR yang bermula pukul 7 pagi tadi melibatkan kekuatan seramai 33 anggota bomba dan penyelamat Sungai Besi serta lapan anggota daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia bagi mengesan kesemua mangsa.

"Pada pagi ini, bomba telah melakukan 'staging' di belakang perumahan Projek Perumahan Rakyat Permai di Sungai Besi sepanjang 2 kilometer dari tempat kejadian berhampiran perangkap sampah.

"Ia turut disertai oleh Unit Pasukan Penyelamat Di Air Selangor dan Unit Anjing Pengesan K9 dalam operasi SAR ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, dua kanak-kanak dan seorang remaja lelaki telah hilang dibawa arus deras ketika sedang memancing di sungai berkenaan. - Bernama

Kosmo 1 Dis 2015


Mayat ditemui lemas dikenalpasti

KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan mayat yang ditemui di tasik PPR Muhibbah di sini pukul 10.30 pagi tadi merupakan salah seorang remaja yang hilang sejak petang semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, mayat remaja yang dijumpai kira-kira 20 kilometer dari lokasi kejadian itu ialah Remy Julian Raymond Joe, 14.

"Pengecaman mangsa dibuat oleh ahli keluarganya di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia pagi tadi.

"Kita kini sedang menggiatkan usaha untuk mengesan dua lagi rakan mangsa yang hilang," katanya pada sidang akhbar di sini sebentar tadi.

Menurutnya, pasukan penyelamat kini memfokuskan misi mencari dan menyelamat di tasik PPR Muhibbah.

Seramai 182 pegawai dan anggota terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. - K! ONLINE

Kosmo 1 Dis 2015


Mayat kedua ditemui

MAYAT mangsa ditemui 100 meter dari lombong. FOTO ihsan Bomba

Kuala Lumpur: Mayat kedua mangsa lemas di Sungai Kuyoh, di sini, ditemui kira-kira 100 meter dari luar kawasan Tasik Muhibah, 10.15 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin yang mengesahkan penemuan itu berkata, mangsa yang ditemui dikenal pasti sebagai Joshnuel Anak Usin, 9.

"Bapa mangsa bersama komando tentera menemui mayat di Sungai Kuyoh, 100 meter dari lombong," katanya.

Dalam kejadian petang kelmarin, dua kanak-kanak dan seorang remaja dihanyutkan arus sungai deras akibat hujan lebat ketika memancing di Sungai Kuyoh berhampirahn Kem Tentera Sungai Besi.

Mayat Rammy Julian anak Raymond Joe, 14, ditemui terapung oleh pasukan penyelamat di Tasik Muhibah, Bukit Jalil, 10.30 pagi semalam.

Bagaimanapun, seorang lagi kanak-kanak, Joe Jerry Primus, 12, masih belum ditemui.

"Sebarang perkembangan akan dimaklumkan nanti," katanya.

myMetro 2 Disember 2015


Mayat terakhir mangsa lemas ditemui

Mayat Joe Jerry Primus, 12, dibawa ke darat selepas ditemui petang tadi. - Foto Ihsan JPAM

Kuala Lumpur: Mayat terakhir tiga rakan yang lemas dalam Sungai Kuyuh berhampiran Kem Tentera Sungai Besi kelmarin, ditemui terapung di Tasik Muhibah, di sini, pada 5.50 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Chong Kok Sin mengesahkan mayat berkenaan ialah Joe Jerry Primus, 12.

“Mayat ditemui anggota Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM)," katanya.

Operasi yang bermula sejak jam 8 pagi hari ini dan diketuai Chong itu turut dibantu beberapa agensi lain dengan kekuatan 160 petugas, termasuk penyelam Gerup Gerak Khas (GGK) ATM.

Mayat mangsa kedua, Joshnuel Usin, 9, ditemui kira-kira jam 10 pagi tadi.

myMetro 2 Disember 2015









0 comments:

Post a Comment