December 21, 2015

Tukang jahit temui ajal ditikam suami

Sia May Lian 

JOHOR BAHRU 20 Dis. - Selepas menikam isterinya di­percayai menggunakan sebilah gunting dan pisau pemotong daging, seorang tukang masak cuba membunuh diri dengan mengelar pergelangan tangan kirinya di Taman Kluang Barat, Kluang hari ini.

Suspek berusia 52 tahun itu ditemukan terbaring dalam keadaan mengiring dengan kepala di atas perut isterinya, Sia May Lian, 47, berlumuran darah oleh anak lelaki mereka yang baru pulang dari tempat kerja.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek yang ditemukan masih bernyawa kini dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang, manakala isterinya didapati sudah meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati satu kesan tikaman se­dalam dua sentimeter di bahagian badan dan kesan kelar sedalam la­pan sentimeter di bahagian dagu mangsa yang bekerja sebagai tukang jahit.

“Polis juga berjaya menemukan sebilah pisau pemotong daging dan gunting yang dipercayai digunakan suspek berhampiran pasangan berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata, pihak-nya sedang giat menjalankan siasatan lanjut berkaitan punca kejadian dan akan mengambil keterangan suspek dalam masa terdekat, namun tidak menolak kemungkinan insiden itu disebabkan masalah keluarga.

Beliau berkata, siasatan awal juga mendapati, semasa kejadian hanya suspek dan mangsa berada di rumah, manakala empat anak pasangan itu keluar bekerja.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Utusan 21 Dis 2015


Anak terkejut lihat bapa terbaring di sebelah mayat ibu

KLUANG 20 Dis. - Seorang pelayan restoran yang baru melangkah masuk ke rumahnya tergamam dan seakan-akan tidak percaya, dua insan yang amat disayanginya terbaring berlumuran darah di atas lantai ruang tamu kediaman mereka di Taman Kluang Barat, di sini hari ini.

Lebih meluluhkan hati Koh Ming Yang, 22, apabila mendapati ibunya, Sia May Lian, 47, yang mengambil upah sebagai tukang jahit sudah tidak bernyawa, manakala bapanya dalam keadaan separuh sedar.

Malah, dia yang bekerja di sebuah restoran, di sini sama sekali tidak menyangka ibunya ditikam bapanya sendiri dan kemudian cuba membunuh diri dengan mengelar pergelangan tangan kirinya.

“Saya amat terkejut melihat keadaan ibu yang sudah tidak bernyawa dan bapa yang tidak sedarkan diri dalam keadaan terbaring di atas badan ibu di ruang tamu rumah kami.

“Saya tidak tahu apa puncanya sehingga kejadian seperti ini berlaku kepada mereka,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom, di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, May Lian ditemukan sudah meninggal dunia dipercayai ditikam beberapa kali dengan gunting dan pisau di bahagian badan oleh suaminya.

Ming Yang mengakui tidak pernah melihat ibu dan bapanya bertelingkah atau bergaduh ketika berada di rumah sebelum ini dan menganggap mereka sebagai pasangan bahagia kerana sering bersama-sama untuk keluar berjalan-jalan, sama ada untuk bercuti mahupun membeli-belah.

“Saya tak tahu nak cakap apa kerana tak sangka kejadian ini boleh berlaku,” katanya yang sugul dan masih terkejut dengan kejadian itu.

Sementara itu, seorang jiran mangsa, Hamidi Samsai, 47, turut mengakui tidak menyangka ketibaan sebuah ambulans di hadapan rumah mangsa pagi hari ini untuk membawa mangsa kejadian bunuh itu ke hospital.

“Saya bangun mandi untuk ke tempat kerja pukul 6.20 pagi dan keluar ke tempat kerja seperti biasa sebelum dimaklumkan oleh rakan ada kejadian bunuh tersebut pagi ini tetapi tidak tahu lebih lanjut mengenainya,” katanya.

Utusan 21 Dis 2015

0 comments:

Post a Comment