December 21, 2015

Kritikal ditikam rakan serumah

Teman serumah bawa geng

Kuala Lumpur: Seorang lelaki kritikal selepas ditikam teman lelaki rakan serumahnya di kondominium di Jalan Usahawan, Setapak, kira-kira 12 tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohd Roy Suhaimi Sarif, berkata berdasarkan keterangan pengawal keselamatan kondominium itu, dia menerima panggilan daripada jiran mangsa yang memaklumkan ada pergaduhan.

Katanya, apabila pengawal keselamatan tiba di depan rumah mangsa, dia mendapati sekumpulan lelaki berdiri di depan rumah itu.

“Apabila pengadu mengetuk pintu rumah mangsa, dia membuka pintu dan ketika itu berlaku pertengkaran antara mangsa dan kumpulan lelaki yang dipercayai dibawa seorang wanita yang juga menyewa di premis sama dengan mangsa.

"Ketika itu, lelaki dalam kumpulan itu tiba-tiba menikam mangsa dan kemudian semua melarikan diri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa parah di hadapan badan dan berada kini dalam keadaan kritikal di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

myMetro 19 Disember 2015


Suspek tikam pengurus pentas ditahan

Kuala Lumpur: Dua suspek lelaki berusia 25 tahun ditahan di Setapak, di sini, semalam bagi membantu siasatan kes tikam pengurus pentas syarikat televisyen berbayar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata, dua suspek penganggur itu ditahan jam 2 petang bagi membantu siasatan pihak polis.

"Kami akan pohon reman hari ini dan usaha mengesan suspek lain sedang diteruskan," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Dalam kejadian jam 11.30 malam semalam itu, Ahmad Hawari Zakaria, 32, ditikam di perut selepas berlaku pertengkaran antara mangsa dan tujuh individu di pangsapuri sewanya di Jalan Usahawan, Setapak, di sini.

Beliau kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL).

myMetro 20 Disember 2015 

0 comments:

Post a Comment