December 23, 2015

Wanita derita sakit misteri


Rupa Bainah kini berubah sepenuhnya, tidak hanya keseluruhan kulit badan dan wajahnya menggelupas, malah rambutnya juga gugur.

BENTONG - Seorang wanita berdepan ujian berat apabila secara tiba-tiba diserang penyakit yang sehingga kini masih belum diketahui setelah hampir lapan bulan melahirkan anak sulungnya, dua tahun lalu.

Kini, Bainah Osman, 49, bukan hanya kehilangan rambut, malah wajahnya turut berubah dan hanya mampu terlantar menderita penyakit misteri itu.

Menurut suaminya, Abdul Jalil Mohamad, 47, pelbagai inisiatif telah dilakukan termasuk mencuba perubatan moden dan tradisional namun masih belum dapat menyembuhkan penyakit isterinya.

Anak mereka, Nur Alia Sofia Abdul Jalil kini telah berusia 2 tahun 4 bulan, namun mereka masih belum mengetahui apakah jenis penyakit yang dihidapi Bainah.

Jalil memberitahu, pada asalnya Bainah mengadu mengalami gatal-gatal di bahagian kulit tangan dan tidak pernah menyangka keadaan bertambah teruk sehingga kini.

“Mula-mula tu, dia beritahu saya dia gatal. Dia garu-garu kulitnya, tapi tak adalah pula kesan macam berbiji digigit ulat atau kudis di bahagian kulitnya.

“Saya ada bawa dia pergi hospital dan doktor masukkan dia ke wad sebab nak kesan penyakitnya. Lepas beberapa hari, dia boleh balik, tapi doktor tak beritahu apa-apa,” katanya.

Jalil berkata, lama kelamaan keadaan Bainah semakin teruk dan bertambah serius selepas dia terkena demam panas.

“Keadaannya bertambah teruk dan sekitar Disember tahun lepas dia dah tak boleh nak bangun... dan tak ada selera makan... lebih sedih bila rambut dia habis gugur. Dia betul-betul dah tak ada daya, hanya telantar saja..." katanya sambil memberitahu Bainah terpaksa dipakaikan lampin pakai buang berikutan keadaan yang dideritainya itu.

Bercerita lanjut, Abdul Jalil memberitahu, hatinya diruntun pilu apabila isterinya merayu dan menolak pergi ke hospital kerana mengadu tidak tahan dicucuk jarum.

"Saya tak sampai tengok dia mengadu sakit. Dia mengadu dah tak sanggup lengannya dicucuk jarum setiap kali pihak hospital nak ambil sampel darah. Dia dah tak tahan sebab selalu sangat dicucuk untuk ambil darah... tapi apakah penyakit yang dihidapi masih belum dapat tahu," katanya sayu.

Menurutnya, selain itu, Bainah enggan ke hospital kerana bimbang menelan kos yang banyak lebih-lebih lagi kerap ditahan ke wad.

"Dia dah tak mahu ke hospital sebab dah serik masuk wad dan bimbang makan belanja banyak... kami orang susah," katanya.

Banyak wang telah dilaburkan

Jalil yang bekerja sebagai pengawal keselamatan memberitahu, beratus-ratus ringgit telah dihabiskan untuk mengubati isterinya.

“Sekarang, dia cuma bergantung ubat dari klinik swasta. Harga beli ubat untuk seminggu dalam anggaran RM50 hingga RM60. Selain ubat, saya kena belikan losen kulit bagi kurangkan rasa pedih dan gatal. Kulit dia menggelupas dan berair,” katanya.

Tambahnya, perbelanjaan harian keluarganya kini bertambah bagi membeli kelengkapan Bainah selain kos anak kecil yang masih menggunakan lampin pakai buang.

“Boleh dikatakan dalam sehari hampir RM200 habis bagi beli kelengkapan harian anak dan isteri saya... dengan gaji RM1,600 sebulan tak cukup nak tampung keperluan harian kami sekeluarga, tambahan pula wang banyak dibelanjakan untuk ubat isteri saya ni,” katanya.

Jalil berharap agar ada pihak yang dapat membantunya menyembuhkan penyakit isterinya itu agar Bainah boleh menjalani kehidupan seperti dua tahun lalu.

“Saya kasihan tengok dia, setiap kali mandikan.. dia mengadu sakit. Tapi bila diajak ke hospital, dia tak nak sebab memikirkan wang yang akan dikeluarkan, sedangkan penyakitnya tetap tak sembuh.

“Setiap kali dapatkan rawatan, tiada sesiapa pun yang dapat beritahu saya apakah penyakit dia. Malah, pengamal perubatan tradisional juga tak tahu,” katanya.

Menurut Jalil lagi, Bainah juga telah dibawa bertemu dengan doktor pakar namun tidak dimaklumkan jenis penyakit yang dihidapi sama ada alahan atau sebagainya.

“Dalam sejarah keluarga kami, hanya Bainah seorang yang menghidapi penyakit ini. Sebelum bersalin secara bedah, dia tak ada sebarang masalah kesihatan.

“Saya harap ada pihak di luar sana dapat tolong jika mereka tahu apakah jenis penyakit yang dihidapi Bainah dan apakah ubat yang dapat menyembuhkan penyakitnya itu,” katanya.

Kunjungan Sinar Harian ke rumah Jalil dan Bainah di Felda Sungai Kemahal turut dihadiri Pengurus Felda, Ahmad Kamal Hussain dan penduduk, Mohamed Shaipudin Baba.

Menurut Kamal, pihak Felda ada menyediakan tabung peneroka memandangkan Bainah adalah anak peneroka.

“Saya akan bawa perkara ini kepada pihak pengurusan Felda Wilayah Mempaga dan akan membantu Jalil mendapatkan bantuan berkenaan,” katanya.

Sinar Harian 22 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment