December 23, 2015

Kepala Misha makin membesar


Nor memegang tangan Misha sambil diperhatikan wakil Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial Terengganu ketika berkunjung ke rumahnya di Kampung Ladang Hospital.

KUALA TERENGGANU - Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Itulah keadaan menggambarkan situasi dihadapi seorang ibu tunggal beranak tiga yang tabah menjaga bayi perempuannya yang menderita penyakit lebihan cecair di dalam kepala atau dikenali sebagai hidrosefalus.

Norizan Che Mustafa, 30, berkata, setiap hari dia terpaksa menahan telinga mendengar tangisan anak bongsu, Nur Kamisha Rahima Abdullah, yang berusia enam bulan, terutama ketika memandikannya kerana sakit pada bahagian kepala.

“Kalau angkat atau sentuh kepala dia, memang dia menangis sebab sakit. Tapi nak buat macam mana, kena mandikan dia juga. Tak boleh biar macam ni (terlantar), nanti jadi (sakit) lain pula. Setiap pagi saya akan sengetkan (mengiring) badannya supaya tidak terlalu lenguh.

“Memang dia akan menangis sebab tidak selesa, lagipun kepala dia dah makin besar dan berat menampung air (cecair) sejak berusia tiga bulan,” katanya ketika menerima kunjungan Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial Terengganu di Kampung Ladang Hospital, di sini.

Jalan kaki 30 minit ke hospital

Norizan atau dikenali sebagai Nor berkata, bayinya dilahirkan dalam keadaan normal, tetapi ketika berusia tiga bulan, dia mendapati kepala Misha mula membesar.

Menurut Nor, dia kemudian memaklumkan keadaan itu kepada doktor di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), yang kemudian mengesahkan anaknya menghidap hidrosefalus.

“ALLAH saja tahu masa tu sebab saya seorang diri terpaksa menanggung semua ini. Masa terima berita, saya memang tiada semangat kerana memikirkan nasib Misha kemudian hari,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dengan sokongan ahli keluarga dan orang di sekeliling, dia dapat menghadapi keadaan itu dengan tenang dan membawa Misha menerima rawatan di hospital sebulan sekali.

“Walaupun hospital (HSNZ) hanya di seberang jalan, saya ambil masa hampir 30 minit berjalan kaki untuk sampai kerana terpaksa berhenti rehat beberapa kali.

"Dia (Misha) pula kena dukung elok-elok sebab nak jaga kepala supaya tak rasa sakit sangat,” katanya yang tidak mempunyai kenderaan untuk membawa Misha menerima rawatan di HSNZ.

Jangka bedah hujung bulan ini

Nor berkata, dia tidak dapat bekerja kerana perlu menjaga Misha sepanjang masa dan juga neneknya, Selamah Mat Amin, 83, yang sakit tua.

Menurutnya, buat masa sekarang, dia hanya bergantung kepada bantuan Misha sebanyak RM200 sebulan.

“Perbelanjaan lain kena pinjam dengan ahli keluarga sebab untuk keperluan Misha sahaja sudah mencecah RM200 sebulan. Duit tu cukup-cukup beli susu dan lampin pakai buang sahaja,” katanya.

Kata Nor lagi, pihak hospital ada memaklumkan untuk merawat Misha dengan membuang air di dalam kepalanya pada hujung Disember ini, tetapi dia tidak pasti sama ada dapat dilakukan atau tidak kerana doktor akan melihat keadaan Misha terlebih dahulu.

“Saya memang harap Misha dapat dibedah segera supaya dia dapat membesar seperti bayi lain.

"Walaupun dalam keadaan terlantar, kalau namanya dipanggil, dia akan beri respons seperti senyum. Sekarang pun dah boleh panggil ma dan itu cukup menggembirakan saya,” katanya.

Bagi sesiapa yang mahu menghulurkan sumbangan, boleh dibuat melalui akaun Hong Leong Bank milik Norizan Che Mustafa 305-51-03152-8.

Sinar Harian 23 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment