December 23, 2015

Maut kena renjatan elektrik


Bomba membawa keluar mayat mangsa terkena renjatan elektrik.

IPOH - Seorang lelaki maut terkena renjatan elektrik dipercayai ketika cuba memotong kabel elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhampiran sebuah kilang di tepi Jalan Kuala Kangsar di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 41 tahun dikatakan cuba memotong satu kabel di kawasan berkenaan sebelum terkena renjatan.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Nor Rasid berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati terdapat satu kabel TNB telah dipotong namun dipercayai tiada arus.

“Satu lagi kabel dengan kesan terbakar dan mempunyai arus elektrik turut ditemui di lokasi kejadian.

"Kita juga jumpa gergaji besi berhampiran mayat dipercayai digunakan untuk memotong kabel berkenaan," katanya.

Menurutnya, polis turut menerima laporan daripada TNB mengenai kabel elektrik yang dipotong.

"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

"Mangsa dipercayai mati disebabkan kejutan elektrik dan kes diklasifikasikan mati mengejut,” katanya.

Sinar Harian 22 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment