December 23, 2015

Damia boleh lemah tiba-tiba


Norazlina bimbang kesihatan Damia merosot.

KUALA KEDAH - Seorang kanak-kanak perempuan, Nur Damia Darwiesya Mohd Fisol, 3, dari Taman Kota Nelayan, di sini, memerlukan dana RM30,000 bagi menampung kos rawatan masalah jantung dialami sejak kecil.

Ibunya, Norazlina Basir, 23, berkata, anak tunggalnya itu disahkan menghidap masalah jantung seawal usia dua hari.

“Bahagian jantung anak kami dikatakan bermasalah antaranya injap jantungnya tertutup menyebabkan darah masuk ke paru-paru.

“Ada masanya, Damia nampak sihat... tapi badannya boleh menjadi lemah secara tiba-tiba apabila bermain atau bergerak terlalu aktif berbanding kebiasaan,” katanya.

Menurutnya, suaminya, Mohd Fisol Khamis, 32, yang bekerja sebagai nelayan di pelantar bot ikan berhampiran rumah mereka tidak mampu menyediakan sejumlah wang yang diperlukan untuk merawat Nur Damia Darwiesya.

"Kami perlukan RM25,000 untuk kos rawatan dan anggaran RM5,000 untuk perbelanjaan serta pengangkutan ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur.

"Sebagai nelayan, suami saya hanya mampu dapat RM700 sebulan dan pendapatan itu tidak membolehkan kami wang untuk membolehkan anak mendapat rawatan 10 Februari ini," katanya.

Dalam pada itu, katanya, dengan pendapatan suaminya itu, mereka perlu memperuntukkan kira-kira RM500 untuk menyediakan keperluan anak seperti susu dan kos pengangkutan ke hospital.

"Keinginan saya untuk bekerja semula membantu suami terbantut disebabkan saya sendiri mengidap kencing manis serius dan perlu suntikan insulin empat kali sehari.

"Malah, tahap kesihatan Damia tidak menentu dan dia memerlukan sepenuh perhatian agar tiada perkara buruk berlaku," katanya.

Orang ramai yang bersimpati dan mahu menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi no akaun Maybank Mohd Fisol: 152023132293.

Sinar Harian 22 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment