December 23, 2015

Bergantung harap duit bantuan


Seri Rahayu menerima sumbangan daripada wakil pasaraya Econsave cawangan Kluang, Nuriah.

KLUANG - Dua bulan selepas dilahirkan, Jasmiera Raihana Abdullah, yang kini berusia 4 tahun disahkan menghidap jantung berlubang selain bocor di bahagian injap jantung.

Ibunya, Seri Rahayu Baharom, 37, berkata, suaminya bekerja di Johor Bahru dan segala tanggungjawab menjaga anak tunggalnya itu dipikul seorang diri.

Menurutnya, dia dan Jasmiera Raihana banyak bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM100 dan Baitulmal RM400 sebulan sejak dua tahun lalu.

"Dengan duit itu saya bayar sewa RM150, bil elektrik dan air, dan paling penting kos ubat anak.

"Kalau perlu pergi hospital banyak kali bulan itu, kena kami ikat perut sebab setiap kali pergi hospital perlu guna banyak duit," katanya.

Dia berkata, Jasmiera Raihana telah dibedah pada November tahun lalu dan kini sedang menjalani rawatan susulan di hospital berdekatan.

"Kalau ikut kata doktor, selepas bedah lagi sekali, jantung Jasmiera akan pulih, cuma tak tahu bila.

"Sekarang ini jantung Jasmiera ada kebocoran injap dan salah satu daun jantungnya perlu diganti," katanya selepas menerima bantuan barangan dapur daripada Pasaraya Econsave di rumah sewanya di Jalan Padang Tembak, semalam.

Hadir menyampaikan sumbangan, Ketua Bahagian Pengurusan Pasaraya Econsave Kluang, Nuriah Selamat.

Katanya, wang bantuan yang diperoleh hanya cukup untuk menampung kehidupan dia dan anaknya itu namun disebabkan kos perubatan anaknya itu menyebabkan dia terpaksa mengikat perut.

“Saya tak dapat bekerja sebab risau kesihatan anak dan tak ada orang nak jaga dia. Ada juga saya cari kerja sampingan tapi tak sesuai dengan keadaan kami berdua,” katanya.

Dia berterima kasih kepada pihak pasaraya Econsave kerana menyalurkan sumbangan barangan dapur dan lampin pakai buang untuk kegunaan anaknya.

Sinar Harian 22 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment