December 23, 2015

2,000 kelapa hangus dijilat api


Anggota bomba sedang memadamkan kebakaran di stor kelapa milik Kamil.

LABIS - Seorang peraih kelapa di Kampung Tenang, di sini, kerugian kira-kira RM30,000 apabila stor tempatnya menyimpan kelapa musnah dijilat api dalam kejadian kira-kira jam 12.30 malam, kelmarin.

Mangsa, Kamil Mahzan, 33, berkata, ketika kejadian, dia mempunyai urusan di Pekan Labis dan hanya mengetahui stor kelapanya terbakar apabila dihubungi ibunya, Zaleha Ros.

“Saya terus balik rumah dan lihat anggota bomba sedang memadamkan kebakaran, manakala adik-beradik dan jiran cuba selamatkan kelapa yang ada.

“Pagi itu, saya beli empat tan kelapa dari Batu Pahat, saya rugi hampir 2,000 kelapa bila kesemuanya hangus terbakar,” katanya semalam.

Menurutnya, turut rosak dalam kebakaran tersebut dua mesin membuang tempurung kelapa yang dianggarkan bernilai RM12,000 dan 60 bakul plastik tempat meletakkan kelapa untuk dibawa ke pasar.

Katanya, dia yang berniaga santan di Pasar Awam Labis, di sini, selama 10 tahun terpaksa memberhentikan sementara perniagaannya sehingga mesin membuang tempurung kelapa dan stor kelapanya dibaiki.

“Saya juga mengarahkan dua pekerja saya berehat seketika sehingga keadaan kembali kepada asal dan beberapa kedai makan di sekitar Labis juga terputus bekalan santan kerana hanya saya pengusaha santan bumiputera di sini.

“Mujur juga sekarang saya sudah melakukan proses memerah santan di pasar dan jika tidak sudah pasti kerugian yang saya alami bertambah besar kerana mesin pemerah santan tersebut mahal,” katanya.

Menurutnya, pihak bomba juga mengesahkan punca kebakaran berpunca daripada litar pintas dan mengharapkan bantuan daripada mana-mana pihak khususnya agensi kerajaan bagi membantunya.

Katanya, dia terpaksa melakukan kerja membuang tempurung kelapa secara manual sehingga mesin tersebut siap dibaiki.

Sinar Harian 22 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment