December 6, 2015

Tunku Abdul Jalil mangkat


SIDANG media oleh Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim

Johor Bahru: Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, 25, mangkat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, kira-kira 7.11 petang, hari ini, akibat sakit kanser hati yang dihidapi baginda sejak Disember tahun lalu.

Yang Dipertua Majlis Jumaah Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, jenazah putera keempat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu akan dikebumikan di Makam Diraja Mahmoodiah selepas waktu Zuhur hari ini.

“Mulai 9 pagi esok, kita memberi peluang kepada rakyat jelata untuk beri penghormatan terakhir di Bilik Singgahsana Istana Besar dan minta kerjasama rakyat untuk berpakaian bersesuaian, sopan dan orang Melayu memakai songkok hitam dengan lilitan putih.

“Tidak dibenarkan untuk merakam gambar, ini pengebumian separa rasmi kerajaan dan tiada cuti umum diumumkan dan tempoh berkabung bagi kakitangan kerajaan adalah selama tiga hari dan istana selama tujuh hari.

“Bendera negeri perlu dikibar separuh tiang selama tiga hari dan semua aktiviti hiburan ditangguhkan, selain dikurangkan,” katanya pada sidang media di Bukit Timbalan, di sini, malam tadi.

Ketika menghembuskan nafas terakhir, semua kaum kerabat berada di sisi Tunku Abdul Jalil termasuk Sultan Johor dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah serta anakanda yang lain.

Jenazah terlebih dulu dimandi dan dikafan serta disolatkan di Istana Bukit Besar sebelum diusung dengan menggunakan pedati khas ke makam diraja.

Orang awam lelaki yang ingin menziarahi upacara pemakaman berkenaan dikehendaki memakai baju Melayu teluk belanga berwarna putih, bersamping hitam tidak bercorak, songkok hitam yang berlilit kain putih.

Bagi lelaki bukan Islam pula dikehendaki memakai sut hitam, bersongkok dan berlilit putih di lengan manakala bagi wanita Islam perlu memakai baju kurung teluk belanga berwarna putih dan berkain batik.

Wanita bukan Islam pula dikehendaki memakai pakaian yang sopan dan tidak menjolok mata.

myMetro 5 Disember 2015


Tunku Abdul Jalil mangkat


GAMBAR yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook menunjukkan Sultan Johor menyambut Hari Keputeraan baginda bersama Almarhum Tunku Abdul Jalil yang ketika itu sedang dirawat di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru bulan lepas.

JOHOR BAHRU – Anakanda keempat Sultan Johor, Tunku Abdul Jalil Iskandar Ibni Sultan Ibrahim Ismail mangkat pada pukul 7.11 malam tadi di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.

Tunku Abdul Jalil mangkat pada usia 25 tahun akibat kanser hati.

Menurut Pengerusi Majlis Jumaah DiRaja Johor, Datuk Rahim Ramli, waktu ziarah bermula dari pukul 9 pagi sehingga 11.30 pagi Ahad di Istana Besar Johor.

Almarhum Tunku Abdul Jalil akan dikebumikan di Makam DiRaja Jalan Mahmoodiah di sini.

Tunku Abdul Jalil dipute­rakan pada 5 Julai 1990 dan merupakan Tunku Laksamana Johor.

Beliau disahkan menghidap kanser hati tahap empat dan pernah menjalani rawatan pemindahan hati di China.

Almarhum merupakan adinda kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Ibni Sultan Ibrahim Ismail.

Berita menyedihkan itu turut dimaklumkan beberapa pihak termasuk Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah.

Kosmo 6 Dis 2015



0 comments:

Post a Comment