December 7, 2015

Ibu bapa failkan saman RM10 juta terhadap Hospital Besut


KOTA BHARU - Sepasang ibu bapa memfailkan saman RM10 juta kepada Hospital Besut dan 10 lagi defendan lain kerana cuai hingga mengakibatkan kematian anak perempuan mereka, Ulya Insyirah Muhamad Sardi, 4, dua tahun lalu.

Muhamad Sardi Saad, 39, dan isteri, Fadilah Abd. Wahab, 45, memfailkan writ saman berkenaan di Mahkamah Tinggi di sini kira-kira pukul 11 pagi melalui Tetuan Syukran Noordin Advocates & Solicitors.

Pasangan guru itu menamakan Dr. Shairazi Azizi Mohd. Salleh; Dr. Mohd. Ruhaifi Yusuf; Dr. Norzaherawati Aryani Md. Tahir; Dr. Hasmani Hamat; Dr. Muhammad Solehuddin Ishak dan Pengarah Hospital Besut sebagai defendan pertama hingga keenam.

Plaintif turut menamakan Dr. Noor Ain Noor Afendi; Dr. Sharifah Huda Engku Alwi; Datuk Dr. Jimmy Lee Kok Foo; Pengarah Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan kerajaan Malaysia sebagai defendan ketujuh hingga ke-11.

Pihak plaintif menuntut gantirugi am sebanyak RM10 juta di atas kecuaian dan menyebabkan pasangan itu mengalami 'nervous shock' selain mengalami tekanan mental dan fizikal. - K! ONLINE

Kosmo 6 Dis 2015


Fail saman RM10 juta

PEGUAM, Mohd Syukran Mohd Noordin (kiri ) bersama anak guamnya Muhamad Sardi dan Fadilah di Mahkamah Kota Bharu. FOTO Fathil Asri.

Kota Bharu: Suami isteri menfailkan saman RM10 juta terhadap hospital di Terengganu dan kerajaan Malaysia atas dakwaan kecuaian yang menyebabkan kematian anak bongsu mereka, dua tahun lalu.

Pasangan yang juga guru itu memfailkan saman berkenaan di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, sempena genap dua tahun kematian anak mereka.

Muhamad Sardi Saad, 39, dan isteri Fadilah Abd Wahab, 45, selaku plaintif pertama dan kedua menamakan 11 defendan dalam afidavit itu termasuk Pengarah Hospital Besut dan Pengarah Hospital Sultanah Nur Zahirah selain Kerajaan Malaysia.

Mereka menuntut ganti rugi am dan khas di bawah peruntukan Seksyen 7(1) dan Seksyen 7 (3A) dan (3B) serta seksyen lain berkaitan mengikut Akta Undang-Undang Sivil 1956.

Muhamad Sardi berkata, anaknya Ulya Insyirah, 4, meninggal dunia 6 Disember 2013 selepas mendapatkan rawatan di Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

"Arwah sebelum itu hanya muntah-muntah dan saya bawanya ke unit kecemasan Hospital Besut sehari sebelum kematian untuk rawatan.

"Namun, berlaku kecuaian dalam rawatan apabila badan anak saya membengkak selepas dimasukkan air dan disahkan mati mengejut akibat pembengkakan dalaman yang serius," katanya.

myMetro 6 Disember 2015



0 comments:

Post a Comment