December 6, 2015

Terbabas 'masuk' kedai

KEADAAN kedai makan yang dirempuh kereta terbabas di Tanjung Minyak, Bukit Rambai.

Melaka: “Mujur pelanggan baru keluar dari kedai. Jika tidak, pasti ada yang dirempuh kereta,” kata Norazlinda Ahmad Azimuddin, 28, selepas Perodua Myvi merempuh kedai makan tempat dia bekerja di Tanjung Minyak, Bukit Rambai, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari, sebuah Perodua Myvi berwarna perak tiba-tiba merempuh tembok jalan dan ‘masuk’ ke dalam kedai makan terbabit menyebabkan Norazlinda, 28, yang ketika itu menyenduk nasi terkejut.

“Saya menyenduk nasi sambil pandangan menghadap ruang makan pelanggan, tiba-tiba kedengaran dentuman kuat disusuli bunyi seperti atap runtuh,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, tiga pekerja lain berada di dapur manakala tiga lagi membersihkan meja di bahagian luar.

“Selepas kereta itu melanggar tembok tepi jalan dan merempuh masuk ke dalam kedai, seorang wanita berusia 30 tahun keluar sambil bertanyakan sama ada sesiapa mengalami kecederaan.

“Kami yang berada dalam kedai menjawab tiada siapa yang cedera,” katanya.

Sementara itu, pemandu Perodua Myvi itu yang enggan dikenali mengaku dia mengantuk, namun bersyukur tiada pihak cedera mahupun mengalami kemalangan jiwa.

Akibat rempuhan kuat, bumbung kedai makan itu ranap di bahagian tengah.

Pemilik kedai makan itu, Abdul Razak Ismail, 50, berkata, dia kerugian RM25,000 kerana perlu membina semula struktur kedai, meja dan kerusi rosak manakala makanan tersedia tidak dapat dijual.

“Ini belum lagi dikira kerugian yang saya alami akibat kedai makan tidak dapat dibuka sehingga dibaik pulih.

“Sudahlah kebelakangan ini saya hanya mampu meraih pendapatan RM800 sehari, dengan saingan kedai makan lain, kini ditimpa malang lain,” katanya.

myMetro 5 Disember 2015



0 comments:

Post a Comment