December 23, 2015

Tragedi tayar lori tercabut


MANGSA maut di tempat kejadian. FOTO ihsan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM)

Kuantan: Guru wanita berusia 40 maut selepas kereta dinaiki terkena tayar lori muatan bauksit yang tercabut di Jalan Pintasan-Pelabuhan berhampiran Sungai Karang dekat sini, 3 petang tadi.

Pada kejadian itu, mangsa, Norhaili Ahmad Zabidi yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Balok dan berasal dari Taman Balok Perdana di sini, meninggal dunia di tempat kejadian.

Jurucakap polis berkata, ketika kejadian, tayar tengah di bahagian kanan lori yang dalam perjalanan dari bandar ini ke arah Pelabuhan Kuantan secara tiba-tiba tercabut.

"Tayar itu kemudian memasuki laluan bertentangan dan terkena kereta dinaiki mangsa.

"Akibatnya, mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat," katanya.

myMetro 21 Disember 2015


Pemandu lori bauksit direman

Kuantan: Pemandu lori bauksit ditahan reman dua hari bermula semalam bagi membantu siasatan berhubung kes guru wanita maut terkena tayar lori di Jalan Pintasan-Pelabuhan berhampiran Sungai Karang dekat Kuantan, petang semalam.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Tuan Ruziani Tuan Lah.

Suspek yang berusia 35 tahun berasal dari Jengka itu menyerah diri di Balai Polis Trafik Kuantan, 10 malam tadi.

Dalam kejadian 3 petang semalam, mangsa, Nohaili Ahmad Zabidi, 40, maut setelah kereta yang dinaikinya terkena tayar tengah lori membawa muatan bauksit yang tercabut di Jalan Pintasan-Pelabuhan.

myMetro 22 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment