December 23, 2015

Tawau rasa gegaran gempa di Tarakan


ORANG ramai termasuk penghuni hotel di sekitar Bandar Tawau keluar dari bangunan. FOTO ihsan bomba

Tawau: Gempa bumi berukuran 6.2 magnitud yang berlaku di Tarakan, Indonesia turut dirasai di sekitar daerah ini pada 2.47 pagi tadi.

Gegaran kuat itu menyebabkan penghuni bangunan seperti kuarters dan flat serta hotel keluar dari bangunan kerana bimbang keselamatan masing-masing.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau, €ŽMohd Razali Awang Ahmad, tujuh panggilan diterima pihak Pusat Gerakan Operasi (PGO) berikutan gegaran terbabit.

“Pemantauan segera dilakukan termasuk membunyikan siren dan membuat pengumuman supaya penghuni kuarters bomba mengosongkan bangunan untuk tujuan keselamatan.

“Pemantauan juga dilakukan di sekitar daerah ini berikutan panggilan kecemasan yang diterima dan sebuah flat Sri Apas Batu 8 mengalami keretakan pada bahagian tampalan simen bangunan berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Razali berkata, pihaknya bertindak memaklumkan kepada penghuni flat supaya melaporkan kepada pihak penyelengara bangunan melakukan pemeriksaan lanjut.

myMetro 21 Disember 2015



Gegaran gempa susulan di Tarakan dirasai di Tawau

ORANG ramai keluar dari bangunan selepas merasai gegaran berikutan gempa susulan. FOTO ihsan pembaca

ORANG ramai keluar dari bangunan selepas merasai gegaran berikutan gempa susulan. FOTO ihsan pembaca

Tawau:Gempa bumi susulan berukuran 4.2 magnitud pada 8.18 pagi tadi di Tarakan, Indonesia sekali lagi menyebabkan gegaran dirasai penduduk di sekitar daerah ini.

Sehingga kini, enam gempa susulan dicatatkan Jabatan Meteorologi sejak kejadian gempa yang berpusat di Tarakan, semalam.

Dalam kejadian pagi tadi, beberapa penghuni bangunan bertindak keluar dari bangunan berikutan gegaran yang dirasai.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihak mereka ada menerima satu panggilan berhubung gempa susulan terbabit dan mengarahkan rondaan segera dilakukan di sekitar Tanjung Batu Laut.

Hasil pemantauan tiada sebarang kerosakan dilaporkan berikutan gegaran terbabit.

myMetro 22 Disember 2015


Tawau paling hampir

PUSAT gempa di Tarakan, Indonesia.

Kota Kinabalu: Pergerakan sesar aktif di sekitar Tarakan, Indonesia yang saling berkait menyebabkan penduduk sekitar Lahad Datu, Tawau dan Semporna merasai gegaran selepas negara jiran dilanda gempa bumi berukuran 6.2 Magnitud, pagi, semalam.

Menurut Pensyarah Geologi Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Dr Felix Tongkul, Tawau antara daratan paling hampir menyebabkan penduduk di kawasan berkenaan turut merasai gegaran.

“Gempa bumi ini berlaku disebabkan pergerakan sesar mendatar bertrend Barat Laut-Tenggara yang berhubung dengan sesar aktif di Tawau, Semporna dan Lahad Datu.

“Sesar ini adalah selari dengan kajian mengenai kajian pergerakan kerak bumi di Lahad Datu dan Tawau,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, gegaran berpusat di 33 kilometer (km) Utara Kalimantan dan 96 km Barat Daya Tawau jam 2.47 pagi, semalam mengejutkan penduduk Tawau.

Dr Felix berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan penduduk kawasan itu akan merasai gegaran susulan kesan daripada gempa bumi.

“Kebiasaan selepas berlaku gempa bumi kuat, pasti gempa susulan akan wujud.

“Ini yang berlaku awal pagi tadi (semalam) apabila gempa bumi pertama direkodkan jam 2.47 pagi sebelum gempa susulan jam 12.21 tengah hari,” katanya.

myMetro 22 Disember 2015



0 comments:

Post a Comment