December 23, 2015

Sepak botol 'berapi' selamat balai bomba

Kesan terbakar dari bekas plastik mengandungi minyak petrol di hadapan balai bomba.

Segamat: Tindakan pantas anggota bomba menyepak keluar botol berisi petrol yang terbakar daripada bergolek masuk ke dalam Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Abdullah, di sini, semalam, berjaya mengelak kejadian tidak diingini.

Kejadian jam 5 pagi itu disedari anggota yang bertugas di kaunter panggilan kecemasan sebaik melihat botol plastik ‘berapi’ bergolek ke arah balai.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Abdullah Penolong Penguasa Bomba Herman Amat berkata, anggota itu berlari keluar dari kaunter dan menyepak botol plastik itu ke sudut selamat.

Katanya, dia memadamkan api botol itu menggunakan alat pemadam kebakaran sebelum melaporkan kepada pegawai atasan.

“Tidak dapat dipastikan dari mana datangnya botol berisi petrol itu, tetapi berdasarkan maklumat anggota bertugas dia ada mendengar enjin motosikal di jalan utama di depan balai sebelum kejadian.

“Pelbagai kemungkinan menyumbang kepada kejadian itu termasuk andaian botol berisi petrol itu tercicir dari motosikal sebelum menyala akibat bergesel dengan permukaan keras,” katanya.

Ditanya sama ada kemungkinan ia perbuatan khianat, Herman berkata, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada polis untuk menyiasat, tetapi memaklumkan tiada laporan polis dibuat pihaknya setakat ini.

myMetro 21 Disember 2015



0 comments:

Post a Comment