December 21, 2015

Terseksa celah tembok

KUCING yang diselamatkan hanya luka ringan.

FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: Anggota Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM) serta pasukan bomba dan penyelamat mengambil masa setengah jam menyelamatkan kucing yang tersepit di celah tembok konkrit di Taman Desa Bayu, Seri Manjung, di sini, semalam.

Kucing jantan itu dikeluarkan jam 11 pagi oleh anggota Sukarela Tugas Operasi (ASTO) JPAM serta anggota Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung.

Pemilik rumah, Ruzman Mat, 44, berkata, dia terdengar suara kucing jam 12.30 tengah malam kelmarin dan membuat pemeriksaan di sekeliling rumah.

“Saya terkejut melihat haiwan itu tersepit di celah tembok konkrit di tepi rumah,” katanya.

Menurutnya, dia cuba mengeluarkan kucing milik jirannya, namun gagal sebelum menghubungi bomba dan JPAM.

“Dengan bantuan anggota penyelamat, kucing itu dikeluarkan dan kami membawanya ke klinik haiwan untuk rawatan.

“Kucing itu hanya luka ringan, namun ia dalam keadaan trauma,” katanya.

Sementara itu, anggota ASTO JPAM daerah Manjung, Lans Koperal Mohd Hafez Mohd Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.05 pagi sebelum dia bersama tiga anggota bergegas ke tempat kejadian.

“Kami mengambil masa setengah jam mengeluarkan haiwan itu dengan bantuan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung.

“Ruang terhad dan sempit di antara tembok konkrit menyukarkan kerja mengeluarkan kucing itu,” katanya.

myMetro 20 Disember 2015








0 comments:

Post a Comment