December 21, 2015

Akhir hayat depan isteri, keluarga



Kota Bharu: Rakyat Malaysia yang parah ditembak di Jalan Narathiwat-Takbai, dekat Kampung Kaluwa, daerah Muang Narathiwat, Isnin lalu, meninggal dunia, 8 malam waktu tempatan.

Mohamad Shahriduwan Ismail, 24, menghembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarganya selepas lima hari dirawat di Hospital Narathiwat.

Perkara itu disahkan bapa arwah, Ismail Ahmad, 66, ketika dihubungi di sini, hari ini.

“Isteri arwah, Phochanee Pachara, 38, dan ahli keluarga yang lain berada di sisinya ketika menghembuskan nafas terakhir.

"Alhamdulillah, semua urusan menghantar pulang jenazah berjalan dengan baik dan selamat tiba, kira-kira 12 tengah hari," katanya.

Ismail berkata, jenazah anaknya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Badang, di sini.

Dalam kejadian 5 petang, 14 Disember lalu, Mohamad Shahriduwan dan isterinya yang berasal dari daerah Yingo, Narathiwat diserang sekumpulan lelaki sebelum ditembak.

Arwah parah dan menerima rawatan di Hospital Narathiwat, manakala isterinya cedera.

myMetro 19 Disember 2015


Akhirnya pergi...

Kota Bharu: “Akhirnya, kami hilang dia yang menjadi tempat bergantung selama ini,” kata Ismail Ahmad, 66, bapa kepada Mohamad Shahriduwan, 24, yang parah ditembak di Narathiwat, Selatan Thailand, Isnin lalu.

Mohamad Shahriduwan meninggal dunia jam 8 malam, kelmarin waktu tempatan selepas lima hari menerima rawatan di Hospital Narathiwat.

Arwah menghembuskan nafas terakhir di sisi isterinya Salehah Sudin, 38, atau Phochanee Pachara (nama Thailand) dan ahli keluarga lain.

Jenazahnya dibawa pulang ke Kampung Kedai Buloh, di sini dan tiba untuk pengebumian jam 12.30 tengah hari semalam.

Menurut Ismail, sepanjang anak kesembilan daripada 10 beradik itu dirawat, mereka sekeluarga tidak putus berdoa supaya dia sedar daripada koma dan pulih, walaupun mungkin mengambil masa lama.

“Besar harapan kami untuk melihat dia kembali membuka mata, namun takdir Allah SWT, tiada siapa yang dapat menghalang.

“Saya reda dengan ketentuan ini meskipun terlalu sedih kerana arwah anak yang baik dan banyak berjasa untuk keluarga. Dia tempat bergantung kami sekeluarga.

“Harapan saya supaya pihak berkuasa menyiasat kes ini dengan baik dan menahan segera suspek yang menyebabkan kematian anak saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang rakyat Malaysia parah, manakala isterinya warga Thailand yang berasal dari daerah Yingo, Narathiwat cedera ditembak di jalan raya Narathiwat-Takbai dekat Kampung Kaluwa, daerah Muang Narathiwat jam 5 petang, 14 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Muang Narathiwat Kolonel Polis Manit Yimsai dilaporkan berkata, pasangan itu dalam perjalanan dari Takbai untuk pulang ke rumah isteri apabila diserang dari kereta.

Manit berkata, isteri Mohamad Shahriduwan yang memandu kereta ketika itu berjaya mengawal kenderaannya dan seterusnya melanggar kereta suspek hingga terbalik, namun mereka dapat melarikan diri.

Beliau berkata, isteri mangsa terus memandu kereta hingga sampai di Hospital Narathiwat untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Salehah ketika ditemui kelihatan sugul dan masih bersedih dengan kehilangan suami tersayang.

“Kami baru tujuh bulan berkahwin, namun dia pergi meninggalkan saya. Ternyata Allah SWT lebih menyayanginya,” katanya.

myMetro 20 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment