December 4, 2015

Tahan tujuh, rampas Eramin 5, kodein

Kota Bharu: Sindiket pengedaran pil Eramin 5 dan ubat batuk (kodein) aktif di bandar ini, berjaya ditumpaskan susulan penahanan tujuh lelaki dalam tiga serbuan berasingan, di sini.

Serbuan dilakukan sepasukan 14 pegawai dan anggota Unit Task Force Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bermula 11 pagi semalam hingga tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan Superintendan Mit Emong berkata, pihaknya berjaya merampas 900 pil Eramin 5 dan 52 liter ubat batuk (kodein) bernilai keseluruhan RM21,300.

"Serbuan pertama kira-kira 11 pagi semalam di sebuah rumah di Jalan Telipot menemui 52 liter ubat batuk dan menahan dua lelaki berusia 25 dan 44 tahun.

"Dalam serbuan kedua kira-kira 8.10 malam tadi, di Taman Bahagia, Jalan Wakaf Mek Zainab menemui 500 pil Eramin 5 dan empat lelaki berusia 18 hingga 29 tahun ditahan.

"Serbuan ketiga pada 12.20 tengah malam tadi di depan Restoran KFC Jalan Bayam menemui 400 biji Eramin 5 di atas kerusi tempat duduk pemandu.

"Seorang lelaki berusia 21 tahun ditahan susulan penemuan itu," katanya pada sidang media di IPK Kelantan di sini, tadi.

Beliau berkata, semua suspek ditahan reman tujuh hari bermula hari ini sehingga 9 Disember untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.

myMetro 3 Disember 2015 

0 comments:

Post a Comment