December 4, 2015

Dua kali rompak rumah sama

Subang Jaya: Seorang penjenayah dicekup ketika sekali lagi cuba memecah masuk sebuah rumah untuk melarikan kenderaan mewah di Bandar Bukit Puchong, Puchong, Isnin lalu.

Suspek berusia 36 tahun itu ditahan selepas memasuki sebuah rumah bersama dua lagi rakan kira-kira jam 8.45 malam tetapi dua rakannya berjaya melarikan diri dengan menaiki kenderaan yang diletak di depan rumah berkenaan.

Sabtu lalu, tiga penjenayah berkenaan sudah memecah masuk rumah berkenaan dan melarikan tiga rantai emas, dua cincin berlian, wang tunai RM1,000, telefon bimbit dan kunci kereta jenis BMW yang semuanya dianggar bernilai RM15,000.

Tiga penjenayah itu yang tidak berpuas hati dengan hasil rompakan, datang semula ke rumah itu Isnin lalu, untuk melarikan kenderaan namun gagal apabila tindakan mereka disedari Unit Kereta Peronda (MPV) yang kebetulan berada di kawasan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang, Superintendan Lee Swee Meng berkata, dua suspek cuba memecahkan pintu pagar rumah untuk membawa keluar kenderaan.

“Seorang menunggu dalam kereta manakala dua lagi sedang berusaha mengangkat pintu pagar pintu berkenaan sebelum menyedari kehadiran kereta peronda.

"Tiga penjenayah itu cuba melarikan diri namun seorang yang berada di luar kawasan rumah berjaya ditangkap," katanya pada sidang media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang.

Menurutnya, polis sedang memburu dua lagi suspek termasuk ketua kumpulan geng samun itu yang giat menjalankan kegiatan mereka di sekitar daerah Subang Jaya.

myMetro 3 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment