December 4, 2015

10 pertuduhan penggubahan wang haram

Ipoh: Dua lelaki berusia 35 dan 48 tahun didakwa dengan 10 pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001 di dua Mahkamah Sesyen, di sini hari ini membabitkan anggaran wang berjumlah RM747,000.

A Sosy S Robert, 48, dan N Narendran, 35, didakwa melakukan kesalahan berkenaan membabitkan urusan pembelian ubat-ubatan dan peralatan perubatan pada Jun hingga Julai 2014.

Tertuduh pertama S Robert didakwa dengan enam pertuduhan mengikut Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001 membabitkan wang berjumlah RM746,400 melalui mesin ATM dan cek daripada akaun milik Mesna Medical Supplies di CIMB Bank Berhad, di Puchong Selangor pada 25 Jun hingga 4 Julai 2014.

Pertuduhan di Mahkamah Sesyen 1 itu dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farez Rahman, di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin, manakala tertuduh diwakili peguam B Sivaruben.

S Robert yang bekerja sebagai pemandu pelancong bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan minta dibicarakan.

Ikmal Hishan kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan kes itu dibicarakan di Mahkamah Sesyen 2 bersama seorang lagi tertuduh.

Tertuduh kedua Narendran pula didakwa di Mahkamah Sesyen 2 dengan empat pertuduhan membabitkan anggaran jumlah wang yang sama dengan tertuduh pertama pada 25 Jun hingga 3 Julai 2014 di CIMB Bank Berhad, di Puchong.

Pertuduhan juga dijalankan oleh Mohd Farez dihadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed, manakala Sivaruben turut mewakili tertuduh.

Rushan Lutfi kemudian menetapkan RM160,000 wang jaminan bagi keempat-empat pertuduhan terhadap Narendran serta 7 Januari depan sebagai sebutan semula kes kedua-dua tertuduh berkenaan.

Jika sabit kesalahan kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan yang dihadapi.

myMetro 3 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment