December 23, 2015

Selagi nyawa dikandung badan

SAODAH menjaga Zainon yang mengalami masalah lumpuh sejak lahir ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Baru Tengah.

Alor Setar: “Saya akan jaga dia selagi nyawa dikandung badan. Saya akan pastikan segala keperluannya mencukupi,” kata ibu tunggal, Saodah Said, 73, yang setia menjaga anak sulungnya seorang orang kurang upaya (OKU) sejak kecil.

Saodah yang tinggal di Kampung Sungai Baru Tengah, Tok Keramat, di sini, berkata, anaknya, Zainon Abidin Ahmad, 58, tidak mampu melakukan apa-apa termasuk bercakap.

Dia juga akur dengan ketentuan Allah kerana tidak dapat berjalan berikutan penyakit gout selain menghidap asma, sakit buah pinggang dan anemia.

Katanya, selepas kematian suami, Ahmad Abdullah 10 tahun lalu akibat bengkak hati, dia kini menguruskan Zainon dengan dibantu anak keduanya, Azlan, 45.

“Dulu ketika kudrat masih ada, saya boleh membantu anak mencari nafkah dengan membuat kerja kampung, tapi sekarang saya bergantung hidup dengan ihsan Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK) sebanyak RM550 setahun.

“Selain itu, anak sulung juga menerima bantuan bulanan OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 dan semua wang itu digunakan untuk membeli susu khas, lampin pakai buang, alat penyedut (inhaler) dan barangan makanan setiap bulan.

“Bagaimanapun, sejak tiga tahun lalu, Zainon tidak mampu menggerakkan badannya dan hanya terlantar di tilam menyebabkan perbelanjaan mengurus meningkat,” katanya.

Saodah berkata, Zainon dilahirkan tanpa sebarang kecacatan, namun sering menangis hingga usia lapan bulan dan hanya boleh meniarap ketika berusia tiga tahun.

Katanya, dia menyedari anaknya tidak berupaya bangun dan berjalan, malah bercakap ketika usianya mencapai empat tahun dan membawanya ke hospital.

Menurutnya, doktor yang merawat anaknya tidak dapat mengesahkan penyakit dihidapi Zainon, namun percaya ia berpunca daripada ‘sawan tangis’ yang menimpanya ketika masih bayi.

“Sejak itu kami hanya berubat kampung kerana tidak mampu membiayai bil rawatan hospital selain tiada pengangkutan membataskan kami untuk membawanya mendapatkan rawatan susulan dengan pakar.

“Jika dulu Zainon masih mampu menggerakkan atau memusingkan badan selain duduk, namun selepas usianya memasuki 50 tahun keadaannya bertambah teruk hingga tidak mampu mengunyah makanan,” katanya.

Menurutnya, dia tidak sanggup membiarkan anaknya diuruskan orang lain mahupun menantunya Rohana Abu Bakar, 40, dan akan sentiasa berada di sisi Zainon.

“Dia hanya mampu menangis dan saya tidak sanggup melihat keadaannya. Saya sayangkan dia dan sentiasa mendoakan supaya keajaiban berlaku. Bayangkan kalau saya tiada, siapa yang akan menjaga dia,” katanya.

Katanya, anak bongsunya Abdul Halim, 35, yang sudah berkeluarga kini menetap di Negeri Sembilan dan bekerja sebagai penjual pisang goreng.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Rohana Abu Bakar di talian 013-4555607.

myMetro 21 Disember 2015



0 comments:

Post a Comment