December 17, 2015

Remaja maut, 3 parah dalam nahas motosikal

KUALA TERENGGANU - Seorang remaja maut manakala tiga beranak parah selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dalam kemalangan di Kampung Jeram, Manir, di sini malam tadi.

Dalam kejadian 9.20 malam itu menyebabkan Rahimie Jame A. Rahim, 18, menunggang motosikal jenis Honda EX5 disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat cedera parah di kepala.

Penunggang motosikal Yamaha Ego LC, Mohd Saidi Ibrahim, 34, isterinya Normariani Zainal, 24, dan anak mereka Muhammad Syakir Muqriz Abdullah, 6, yang membonceng cedera parah dan turut dirawat di hospital sama.

Nahas itu dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang remaja berasal dari Lorong Pengkalan Jejawi, Manir itu cuba memotong sebuah lori dan bertembung dengan motosikal dinaiki tiga beranak itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Nik Mohd Zain Nik Omar mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan sedang dijalankan. - Bernama

13 Dis 2015


Nasi lemak tonton bola

MOTOSIKAL kedua-dua mangsa remuk selepas terbabit kemalangan di Kampung Jeram, Manir.

Kuala Terengganu: “Sebelum ini dialah yang rajin menjaga adiknya berusia 16 tahun yang lumpuh sejak lahir dan banyak berkorban untuk keluarga.

“Arwah juga tidak sabar memulakan pekerjaan pertamanya sebagai pembantu restoran makanan segera di Gong Badak,” kata Suzana Ismail, 53, ibu kepada Mohamad Rahimie Jame A Rahim, 18, yang maut selepas motosikal Honda EX5 ditunggangnya bertembung dengan Yamaha Ego dinaiki sepasang suami isteri dan anak mereka berusia enam tahun dalam kejadian di Kampung Jeram, Manir, di sini, kelmarin.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa memotong sebuah lori sebelum bertembung dengan motosikal Yamaha Ego ditunggang tiga beranak itu yang datang dari arah bertentangan.

Akibat pertembungan itu pasangan suami isteri serta kanak-kanak berkenaan parah manakala Mohammad Rahimie yang parah di kepala serta badan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Arwah sebelum itu dikatakan dalam perjalanan pulang selepas membeli nasi bungkus untuk adik-beradiknya.

Suzana berkata, anak keenam daripada lapan beradik itu begitu bersemangat membeli nasi lemak dan nasi minyak untuk menonton perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia.

Menurutnya, dia terkejut sebaik seorang penduduk kampung datang ke rumah memaklumkan kemalangan menimpa anaknya kira-kira 200 meter dari kediamannya.

Katanya, dia tidak mampu menahan sebak sebaik melihat sendiri anaknya dengan keadaan parah di kepala dan kedua tangan berlumuran darah.

“Seluruh tubuh saya menjadi lemah melihat keadaan anak dan berharap dia masih dapat diselamatkan. Bagaimanapun dia tidak dapat bertahan dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke HSNZ,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, di sini, kelmarin.

Katanya, sebelum ini arwah menghabiskan masa menjaga adiknya berusia 16 tahun yang lumpuh sejak lahir dan banyak berkorban untuk keluarga selain tidak sabar memulakan kerjaya di sebuah restoran makanan segera.

myMetro 14 Dis 2015

0 comments:

Post a Comment