December 17, 2015

10 beranak berteduh di bilik air

SITAH bersama anak perempuan bongsu di bilik air yang dijadikan tempat berteduh.

Gua Musang: Sepuluh beranak di Kampung Limau Kasturi, dekat sini, menjadikan tandas dan bilik mandi tempat tinggal sejak Januari lalu selepas sebahagian besar rumah mereka dihanyutkan banjir besar akhir tahun lalu.

Sitah Yaakob, 51, dan suaminya Idris Deraman, 52, bersama anaknya berusia antara empat sehingga 19 tahun tinggal di situ sejak 11 bulan lalu kerana tidak mampu membina rumah baru.

Lebih menyedihkan mereka menutup kawasan tandas itu dengan kayu dan zink terbuang untuk berlindung daripada panas dan hujan.

Malah, rumahnya di kawasan rizab Sungai Galas itu terdedah risiko banjir setiap musim tengkujuh akhir tahun berikutan tidak mempunyai tapak rumah untuk membina kediaman baru.

Sitah berkata, atap dibina daripada zink terbuang itu bocor setiap kali hujan menyebabkan khemah dipasang dalam rumah sementara itu sebagai tempat perlindungan.

“Kalau berlaku banjir musim tengkujuh ini tak tahulah apa yang harus kami lakukan dan kemungkinan pula rumah sementara untuk tempat berteduh dihanyutkan arus deras.

“Walaupun hidup dalam keadaan tertekan selepas rumahnya dihanyutkan banjir, namun saya reda dengan ketentuan Ilahi dan cuba membina hidup baru jika ada bantuan daripada mana-mana pihak,” katanya ketika ditemui dirumahnya di sini, semalam.

Menurutnya, hanya suaminya bekerja sebagai kerani di sekolah rendah di Bandar Gua Musang dengan pendapatan RM1,200 sebulan.

“Dengan pendapatan tidak seberapa, kami tidak mampu membina rumah baru serba lengkap dan hanya sekadar cukup perbelanjaan makan sekeluarga dan menyara tiga anak yang bersekolah,” katanya.

“Saya benar-benar mengharapkan kerajaan membantu bagi membina semula rumah yang musnah,” katanya.

myMetro 14 Dis 2015

0 comments:

Post a Comment