December 21, 2015

Nekad terjun kereta

Butterworth: Seorang wanita cedera di kaki kiri ketika menyelamatkan diri daripada diculik dengan terjun daripada kereta yang dipandunya dalam kejadian di Prai, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa Tan Geik Bee, 31, terjun daripada kereta Perodua Viva dipandunya selepas diugut dengan pisau oleh seorang lelaki yang tiba-tiba menaiki keretanya.

Sumber berkata, mangsa sebelum itu berada di dalam kereta di kawasan parkir sebuah pusat membeli belah di Seberang Jaya di sini, berseorangan sebelum seorang lelaki masuk ke dalam keretanya.

Katanya, lelaki berkenaan kemudian mengacukan pisau kepadanya sebelum menyuruh mangsa memandu ke Prai.

"Mangsa mengikut arahan lelaki berkenaan kerana bimbang dicederakan dan sebaik sampai di hadapan sebuah kilang di Prai, dia nekad terjun daripada kereta dipandunya itu.

"Sejurus terjatuh di atas jalan raya mangsa kemudian mendapatkan pertolongan daripada seorang pemandu bas di kawasan itu sebelum keretanya dilarikan lelaki berkenaan," katanya.

Menurut sumber, mangsa cedera di kaki kiri dan kerugian lebih RM1,000 selain kereta miliknya dilarikan.

Katanya, mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Mertajam dan polis kini sedang berusaha memburu lelaki berusia 30-an berkenaan.

myMetro 18 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment