December 21, 2015

Dikurung empat jam kerana telefon bimbit

MUHAMMAD YUSUF AZMI (dua dari kiri) menyaksikan penyerahan wang oleh jurujual kepada Dipres Nasution Mohd. Arifin (dua dari kanan) selepas menerima aduan penipuan penjualan telefon bimbit di Kompleks Kota Raya, Kuala Lumpur, semalam.

SEORANG wanita warga Indonesia yang dikurung selama dua jam di sebuah bilik mendapatkan semula wang daripada seorang jurujual telefon bimbit di Kompleks Kota Raya, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR 15 Dis. – Seorang lelaki ‘dikurung’ dalam sebuah bilik kecil selama empat jam oleh beberapa lelaki tidak dikenali akibat tidak mahu meneruskan pembe­lian empat telefon bimbit di sebuah kedai yang tiba-tiba mencecah RM10,000 berbanding harga asal dipersetujui iaitu sebanyak RM800.

Mangsa, Dipres Nasution Mohd. Arifin, 28, berkata, pada awalnya, dia berminat untuk membeli seba­nyak empat telefon bimbit berikutan tawaran menarik oleh penjual terbabit iaitu pada harga RM200 setiap satu.

Katanya, selepas membuat bayaran, penjual tersebut enggan menyerahkan telefon bimbit yang dibeli dan mengarahkan dia memasuki sebuah bilik kecil di sebuah premis lain yang terletak berdekatan.

“Setelah menunggu selama kira-kira sejam di dalam bilik itu, seorang lelaki lain datang membawa bil dan apabila melihat bil tersebut, saya terkejut kerana harga pembelian telefon bimbit mencecah RM10,000.

“Saya bertanya kepada lelaki itu, kenapa harganya lain daripada yang dipersetujui iaitu RM800 tetapi dia memberi pelbagai alasan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, walaupun enggan meneruskan pembe­lian, dia dipaksa untuk membayar harga telefon bimbit tersebut jika mahu ‘dibebaskan.’

“Saya terkejut dan mempersoalkan proses awal pembelian. Apabila saya ingin membatalkan semula pembelian itu dan menuntut kembali wang sebanyak RM800 itu, mereka enggan mengembalikannya malah mengugut yang nama saya akan di senaraihitamkan oleh jenama telefon tersebut.

“Lelaki itu memaksa saya keluarkan duit dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM), saya katakan hanya mempunyai RM5,000 sahaja dan jumlah itu tidak cukup untuk menjelaskan harga semua telefon bimbit tersebut. Selagi tidak bayar, saya tidak akan dilepaskan.

“Setelah mendapati akaun saya benar-benar tidak mempunyai wang yang cukup, dia akhirnya bersetuju menerima RM5,000 untuk empat telefon bimbit malangnya jenis telefon bimbit yang diserahkan kepada saya tidak sama dengan pilihan asal,” katanya.

Disebabkan merasa dirinya ditipu, Dipres Nasution telah membuat aduan kepada beberapa agensi yang bertanggungjawab termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, namun dia kecewa kerana tiada sebarang tindakan diambil.

Dia kemudian melaporkan kejadian tersebut kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sebelum PPIM bertindak melakukan serbuan di Kompleks Kota Raya, Jalan Tun Tan Cheng Lock di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM, Muhammad Yusuf Azmi percaya wujud rangkaian yang dijalankan oleh pihak-pihak terbabit di kompleks tersebut untuk melakukan penipuan terhadap pelanggan.

Katanya, selain masyarakat tempatan, kebanyakan yang menjadi mangsa penipuan itu adalah warga asing yang terdiri daripada golo­ngan wanita.

“Dalam serbuan yang dilakukan, kita dapati banyak kedai menjual telefon bimbit tiruan pada harga mahal. Sebanyak RM11,900 berjaya dituntut semula daripada beberapa pemilik premis perniagaan ber­kenaan dengan melibatkan tujuh mangsa.

“Saya mengharapkan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menjalankan pemantauan dengan lebih rapi supaya kes-kes penipuan seperti ini tidak berlaku lagi,” katanya.

Utusan 16 Dis 2015


Bayar balik RM5,000

Kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Putrajaya: Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Kuala Lumpur pada Selasa lalu mengeluarkan penghakiman kepada sebuah syarikat menjual telefon bimbit supaya membayar balik RM5,000 kepada Dipres Nasution Mohd Arifin iaitu lelaki dikurung empat jam oleh penjual berhubung pembelian telefon bimbit yang viral dalam media sosial.

Ketua Setiausaha Kementarian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Alias Ahmad berkata, penghakiman itu dikeluarkan di bawah Award Borang 8 tanpa kehadiran penentang iaitu syarikat menjual telefon bimbit berkenaan.

Menurutnya, pembayaran balik wang adalah dalam tempoh 14 hari dari tarikh Award dikeluarkan, manakala, penuntut perlu memulangkan semula empat telefon bimbit kepada syarikat itu selepas bayaran diterima.

"Selepas menerima Award, pengadu bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pergi ke premis dan membuat tuntutan. Syarikat memulangkan semula wang RM5,000 kepada Dipres.

"Empat telefon bimbit berkenaan juga dipulangkan kepada syarikat itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas berhubung isu seorang lelaki dikurung empat jam oleh penjual telefon bimbit yang viral dalam media sosial.

Kejadian itu dipercayai berlaku November lalu di premis menjual telefon bimbit di Kompleks Kotaraya Kuala Lumpur.

Dipres dipaksa membayar sejumlah RM5,000 bagi pembelian empat telefon bimbit berbanding harga asal yang ditawarkan iaitu RM800.

Pada masa sama, Alias berkata, sejak Januari hingga 30 November lalu, KPDNKK mengambil 92 tindakan berkaitan barang tiruan telefon bimbit membabitkan nilai rampasan hampir RM600,000.

myMetro 17 Disember 2015



Telefon bimbit punya pasal

Kuala Lumpur: Kompleks Kota Raya di sini terpaksa ditutup pada 4.55 petang tadi, dipercayai akibat kekecohan selepas tujuh mangsa penipuan pembelian telefon bimbit menuntut wang mereka semula.

Aktivis masyarakat, Roslan Ismail berkata, kehadiran mereka di kompleks berkenaan pada asalnya hanya untuk membantu mangsa yang ditipu.

"Kami tidak mahu timbulkan sebarang provokasi, tetapi kekecohan berlaku selepas seorang peniaga cuba menghalau dan bersikap biadab.

"Tidak salah jika mangsa mahu menuntut hak mereka," katanya ketika ditemui di kompleks berkenaan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Roslan berkata, hanya seorang mangsa yang berjaya mendapatkan kembali wangnya.

"Ada lagi yang tidak dapat wang mereka dan kami akan cuba bantu," katanya.

myMetro 20 Disember 2015


Kompleks Kota Raya ditutup, berlaku pergaduhan kecil

KUALA LUMPUR - Satu pergaduhan kecil tercetus di Kompleks Kota Raya di sini apabila beberapa individu cuba menuntut bayaran dalam kes jual beli telefon bimbit kira-kira jam 4.55 petang tadi.

Kejadian turut menyebabkan beberapa peralatan kedai berkenaan rosak dan berjaya dileraikan orang ramai yang berada di lokasi kejadian. Insiden yang berlaku tidak sampai lima minit itu menyebabkan kompleks Kota Raya ditutup.

Menurut seorang aktivis, Roslan Ismail berkata, kekecohan tersebut berlaku berikutan tindakan peniaga tersebut yang enggan membayar duit yang diminta selain turut menghilangkan diri.

"Tindakan tersebut yang menyebabkan orang ramai marah dan situasi menjadi tidak terkawal," katanya.

Beliau yang juga mewakili beberapa orang mangsa yang dipercayai telah ditipu berkata, terdapat peniaga yang bertindak memaki dan menghalau orang ramai yang turut sama berada di tempat kejadian.

"Tindakan (peniaga) itu seperti kami pula yang salah. Kami tidak menggalakkan provokasi dan apa yang berlaku adalah kerana kemarahan orang ramai. Kami datang secara aman," katanya.

Kata Roslan, beliau menghormati pihak berkuasa dan tindakannya tidak melanggar undang-undang kerana kedatangannya mewakili mangsa yang telah ditipu.

Sinar Harian 20 Disember 2015


Gaduh di Kota Raya: Seorang ditahan, 14 lagi diburu

KUALA LUMPUR - Seorang suspek kes pergaduhan di kompleks beli-belah Kota Raya ditahan polis semalam manakala 14 lagi suspek yang terbabit dalam kes itu masih diburu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Supt Habibi Majinji berkata suspek yang diburu itu melibatkan sekumpulan lelaki yang menjadi pelanggan dan jurujual telefon bimbit di kompleks berkenaan.

"Suspek yang ditahan 5 petang selepas kejadian semalam ialah seorang lelaki berusia 38 tahun yang bekerja sebagai penjaga parkir di kawasan itu," katanya kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Beliau berkata pergaduhan itu berlaku selepas sekumpulan lelaki dipercayai pelanggan, tidak berpuas hati dan mendakwa mereka ditipu oleh jurujual telefon bimbit terbabit.

"Polis akan mengeluarkan imej beberapa suspek yang terbabit dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata polis akan memohon reman terhadap suspek lelaki yang ditahan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun mendatangkan kecederaan.

Semalam, sekumpulan lelaki dipercayai pelanggan dan jurujual telefon bimbit bergaduh di tingkat bawah kompleks beli belah Kota Raya di sini.

Klip video pergaduhan itu, yang berdurasi dua minit dan 30 saat, telah dimuat naik dalam YouTube.

Video itu menunjukkan beberapa lelaki bergaduh dengan jurujual di sebuah kedai telefon bimbit, dan ada yang membaling kerusi ke dalam kedai berkenaan. - Bernama

21 Disember 2015


0 comments:

Post a Comment