December 17, 2015

Lemas bersih sisa sampah

NORAINI (kanan) bersama anak melihat gambar kenangan arwah ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Membatu, Ketereh.

Kota Bharu: Seorang pemandu jengkaut ditemui mati dalam lubang paip air dipercayai akibat terjatuh ketika cuba membersihkan sisa sampah yang menyekat saluran itu di tapak projek korek pasir di Kemubu, di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang menyebabkan Alias Mat Ripin, 60, tertimbus dalam lubang berkenaan dan lemas.

Isteri Alias, Noraini Mohd Noh, 47, berkata, dia dimaklumkan rakan sekerja Alias bahawa arwah dipercayai mahu membersihkan lubang paip air itu yang tersumbat sebelum tergelincir ke dalamnya.

“Arwah sebelum itu memandu jengkaut untuk mengorek pasir di tapak berkenaan secara sendirian manakala rakan sekerja lain berada di kawasan berlainan.

“Saya dimaklumkan kejadian menimpanya kira-kira jam 6 petang oleh seorang rakannya yang memberitahu arwah jatuh.

“Mereka mengesyaki sesuatu buruk berlaku kepada suami selepas enjin jentera dikendalikannya tidak dimatikan, malah kelibat arwah tiada di kawasan berhampiran,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Membatu, Ketereh, di sini, semalam.

Noraini berkata, arwah yang juga bapa kepada lima anak sudah dua tahun bekerja di tapak projek itu selepas bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia.

“Sebelum keluar rumah pada pagi kejadian, dia tidak menunjukkan sebarang perubahan, sebaliknya hanya banyak berdiam diri beberapa hari sebelum itu,” katanya.

Jenazah Alias selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rambutan Rendang, di sini, pada jam 3 pagi, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang Deputi Superintendan Dzulkiffli Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

myMetro 10 Dis 2015


0 comments:

Post a Comment