December 17, 2015

Campak mayat dalam lubang najis


Dungun: Mayat lelaki Bangladesh yang dipercayai dibunuh rakan sekerjanya warga Myanmar, ditemui dalam lubang tangki najis sebuah rumah yang dalam pembinaan di Kampung Pelandang, Pulau Serai, di sini, 10 pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Hussin, 43, ditemui pemilik rumah berusia 42 tahun dalam tangki najis di luar rumah berkenaan.

Sebelum itu, seorang lagi rakan sekerja mangsa dikatakan ternampak tompokan darah lalu memanggil pemilik rumah terbabit dan mereka mencari mangsa sebelum menemui mayat Hussin dan pemilik rumah yang juga juruteknik, menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Difahamkan ketiga-tiga rakyat asing itu bekerja membina rumah juruteknik berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacob berkata, usaha memburu suspek mangsa sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

myMetro 10 Dis 2015



Jabit masih ada di Terengganu

Lakaran suspek 

Dungun: Warga Myanmar dikenali sebagai Jabit yang disyaki membunuh rakan sekerjanya di Kampung Pelandang, Pulau Serai, di sini, Khamis lalu, dipercayai masih berada di Terengganu.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob, berkata pihaknya sedang menjalankan mengesannya selepas menghilangkan diri dipercayai mempunyai kaitan dengan kematian mangsa yang juga warga Bangladesh.

Menurutnya, pihaknya sudah mendapatkan lakaran fotofit warga Myanmar berkenaan dan mohon kerjasama orang ramai bagi membantu polis mengesannya.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ada ternampak lelaki itu diharapkan dapat menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun di talian 09-8451600 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Khamis lalu, seorang pekerja warga Bangladesh ditemui mati dalam tangki kumbahan dipercayai dibunuh di sebuah rumah yang dalam proses pembinaan di Kampung Pelandang.

Mangsa dikenali sebagai Hussin, 43, ditemui pemilik rumah terbabit, Roslan Mohamad, 42, bersama seorang pekerjanya, kira-kira 10 pagi.

myMetro 12 Dis 2015


0 comments:

Post a Comment