December 17, 2015

'Kunci' tuan rumah dulu

RAKAMAN CCTV menunjukkan seorang lelaki menceroboh kawasan rumah dan memecah cermin kereta mangsa.

Tanah Merah : Seorang lelaki bertindak licik apabila mengikat pintu rumah mangsa dari luar dengan dawai untuk mengurungnya sebelum dia memecah masuk sebuah kenderaan milik mangsa yang diletakkan di luar rumah.

Dalam kejadian di Batu 11, Kemahang, di sini, pada jam 5.20 pagi, semalam, mangsa terkurung dalam rumah selama 10 minit dan gagal berbuat apa-apa untuk menghalang tindakan lelaki berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, mangsa berusia 30-an menyedari suspek menceroboh kawasan kediamannya dan cuba mengambil barangan berharga di dalam kereta jenis Proton Persona apabila alat penggera kereta itu berbunyi.

“Mangsa sekeluarga tidur sebelum terkejut dengan bunyi alat penggera berkenaan dan dia cuba keluar mengikut pintu depan rumah, namun terhalang apabila ia ‘dikunci’ dari luar.

“Suspek sebelum itu sudah mengikat pintu rumah mangsa dari luar dengan dawai. Mangsa mengambil masa 10 minit untuk membuka pintu.

“Dia berjaya lolos selepas pintu ditolak dengan kuat dan ditendang beberapa kali sehingga dawai terputus.

“Mangsa kemudian memeriksa keretanya dan mendapati cermin kiri bahagian belakang dipecahkan dan sebuah beg mengandungi barangan anaknya dilarikan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Suzaimi berkata, dalam beg itu berisi wang tunai RM10, pakaian dan rekod kesihatan anak mangsa.

Katanya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Batang Merbau, di sini, pada jam 9 pagi dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, siasatan ke atas rakaman litar tertutup di rumah mangsa memperlihatkan suspek seorang diri dan memakai topi keledar serta menutup mukanya dengan kain.

myMetro 11 Dis 2015


0 comments:

Post a Comment