December 4, 2015

Lelaki maut masuk rumah ikut tingkap

KUALA LUMPUR 3 Dis. - Seorang lelaki maut terjatuh dari tingkat 16 sebuah flat kos rendah di Jalan Raja Laut, di sini selepas dikatakan cuba memasuki sebuah rumah melalui tingkap pagi ini.

Mangsa yang berusia 30-an dipercayai bukan penduduk di flat tersebut.

Menurut seorang saksi yang enggan dikenali, mangsa dilihat dalam keadaan tidak terurus dan merayau-rayau di tingkat 17 flat berkenaan untuk bertemu seseorang dipercayai teman wanitanya yang menyewa di sebuah bilik di situ kira-kira pukul 9 pagi.

“Kira-kira sejam selepas itu, keadaan menjadi kecoh apabila mangsa dilihat cuba memasuki sebuah rumah di tingkat 16 dengan memijak sengkuap tingkap malah dilihat menendang tingkap rumah berdekatan sehingga pecah.

“Penghuni rumah terbabit difahamkan menyedari kejadian itu dan mangsa yang dipercayai panik telah terjun,” katanya.

Sementara itu, sumber polis ketika dihubungi memberitahu, pihaknya masih belum mendapat pengesahan sama ada mangsa menceroboh rumah itu untuk mencuri atau bertemu seseorang atau sengaja terjun dengan niat membunuh diri.

“Setakat ini siasatan kes ini adalah kematian mengejut dan kami sedang menyiasat dakwaan mangsa masuk ke rumah itu untuk mencuri,” katanya. - UTUSAN ONLINE

3 Dis 2015

0 comments:

Post a Comment