December 17, 2015

Ghaib bawah tembok

LELAKI warga Indonesia maut selepas tertimbus runtuhan tembok di Jalan Koop Cuepacs, Taman Cuepacs, semalam.

Kajang: Gerak hati seorang pemilik rumah bahawa ada mangsa tertimbus di bawah runtuhan tembok kediamannya di Jalan Koop Cuepacs 5c, Batu 9, di sini, petang semalam, ternyata tepat apabila operasi dijalankan anggota bomba dan penyelamat menemui mayat lelaki warga Indonesia.

Kallen Anthony, 27, berkata, dia mengesyaki perkara itu selepas mendapati motosikal tidak bertuan diletakkan di tepi rumahnya.

“Ketika kejadian saya dan keluarga membeli barangan persiapan menyambut Krismas. Tiba-tiba ibu rakan menghubungi saya memaklumkan tembok rumah runtuh jam 2.30 petang.

“Kami bergegas pulang dan pada masa sama mendapati sebuah motosikal berada berhampiran lokasi dan mengesyaki pemiliknya mungkin tertimbus sebelum melaporkannya kepada bomba,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini, semalam.

Mayat Saiful Abd Samad, 39, ditemui bomba jam 4.45 petang sebelum diserahkan kepada polis.

Kallen berkata, sebelum kejadian, dia meminta tolong seorang rakan mencari pekerja bagi membersihkan longkang berhampiran tembok rumahnya.

“Rakan mengupah lelaki itu dan kami tidak tahu waktu sebenar dia mula menjalankan kerjanya. Kejadian ini mengejutkan kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya mengambil masa 30 minit untuk mengeluarkan mangsa.

“Operasi diteruskan sehingga tiada mangsa lain ditemui. Kawasan itu masih dalam pemantauan kami kerana struktur tanahnya tidak stabil,” katanya.

myMetro 17 Dis 2015


Maut tertimbus tembok longkang


Kajang: Seorang lelaki warga Indonesia berusia 38 tahun maut tertimbus selepas tembok longkang di Jalan Koop Cuepacs 5C, Batu 9, Cheras, runtuh petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa dikatakan sedang melakukan kerja pembersihan longkang berhampiran tembok sebuah kediaman.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pemilik rumah berkenaan pada jam 3.19 petang dan bergegas ke lokasi.

"Bomba tiba pada 3.56 petang dan pemilik rumah mendakwa ada dua mangsa tertimbus di bawah runtuhan.

“Kami melakukan operasi menyelamat dan menemui satu mayat kira-kira 30 minit kemudian.

"Selepas siasatan mendapati hanya seorang mangsa tertimbus namun operasi diteruskan bagi memastikan tiada lagi mangsa tertimbus," katanya di sini, sebentar tadi.

myMetro 16 Dis 2015




0 comments:

Post a Comment