December 17, 2015

Bedil depan rumah

Johor Bahru: Dua lelaki cedera selepas ditembak beberapa kali oleh dua lelaki bermotosikal dalam kejadian di Jalan Gaya 2, Taman Gaya, Saleng dekat Kulaijaya, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, mangsa seorang peniaga berusia 39 tahun parah di kepala dipercayai ditembak pada jarak dekat, manakala seorang lagi mangsa yang juga pekerjanya berusia 23 tahun cedera ringan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, kejadian berlaku di hadapan rumah mangsa dan siasatan awal mendapati tembakan dilepaskan terkena kepala mangsa.

"Punca kejadian dipercayai kerana pergaduhan dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya yang ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk rawatan lanjut dan mangsa yang parah dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

myMetro 17 Dis 2015

0 comments:

Post a Comment