December 17, 2015

Duit tahlil langsai hutang

ROSNANI menyuap nasi berlauk kicap kepada anaknya.

Johor Bahru: “Kami hampir kehilangan tempat berteduh selepas gagal membayar tunggakan sewa rumah dan saya terpaksa menggunakan semua wang disumbang jiran dan rakan untuk majlis tahlil arwah suami untuk melangsaikan hutang itu kerana tidak mahu anak hidup merempat,” luah ibu tunggal, Rosnani Abu Hanifah, 38.

Rosnani tinggal di Blok F Seri Seroja, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas, di sini, bersama tiga anak kandung dan tiga anak tirinya yang berumur antara setahun sembilan bulan hingga 15 tahun sejak suami, Selamat Samsudin, 53 meninggal dunia akibat barah prostat pada 24 Oktober lalu.

Dia mahu bekerja untuk menyara keluarga, namun tidak dapat berbuat demikian kerana usia anak yang masih kecil dan kini hanya mengambil upah sebagai guru mengaji al-Quran di rumah.

“Arwah suami terlantar di rumah selama empat bulan sebelum meninggal dunia dan bagi membantunya, saya mengambil upah mengopek ikan bilis, tetapi pendapatan tidak cukup untuk menampung perbelanjaan ketika itu.

“Akhirnya, rumah kami hampir disita kerana tidak melangsaikan bayaran sewa tertunggak dan peristiwa itu masih terkesan sehingga kini kerana berlaku empat hari selepas suami meninggal dunia.

“Mujur jiran, rakan dan saudara-mara datang melawat menghulurkan sumbangan dan wang itu digunakan bagi melangsaikan tunggakan sewa rumah walaupun bercadang menyimpannya untuk kegunaan waktu kecemasan,” katanya.

Rosnani berkata, kepayahan hidup memaksa dirinya dan anak berjimat kerana mereka langsung tidak mempunyai simpanan kewangan peribadi.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana mempunyai jiran prihatin dan tidak lokek menghulurkan sumbangan dalam bentuk barangan keperluan makanan walaupun kadang kala terpaksa mengikat perut.

“Selepas pemergian suami, ada juga jiran dan orang perseorangan tampil menghulurkan sumbangan makanan dan barangan keperluan

“Tidak kurang juga menyumbang permaidani, peti ais, televisyen dan terbaru kelengkapan perabot kerana simpati dengan nasib saya sekeluarga yang tidur beralaskan tilam toto.

“Saya tidak tahu sampai bila terpaksa bergantung dengan orang sekeliling dan sedih kerana gagal memenuhi keinginan anak untuk menikmati makanan enak, namun saya tiada pilihan kecuali menyediakan nasi goreng dan bubur sebagai hidangan harian mereka,” katanya yang masih menunggu kelulusan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan melalui jiran Rosnani iaitu Amsah Che Daud menerusi akaun Maybank yang bernombor 151240097051.

myMetro 11 Dis 2015



0 comments:

Post a Comment