December 17, 2015

Ditemui tersangkut di pokok bakau

IHSAN Bomba dan Penyelamat

Manjung: Seorang lelaki yang terjun ke Sungai Tebuk, di Kampung Baru, Lumut selepas dikejar polis, malam tadi, ditemui lemas dan tersangkut pada pokok bakau, hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, lelaki berusia 30 tahun itu dilaporkan terjun ke dalam sungai berkenaan 11.30 malam tadi.

Menurutnya, susulan kejadian itu pasukan mencari dan menyelamat terdiri daripada bomba, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menjalankan operasi mencari lelaki terbabit di sungai berkenaan.

"Lelaki berkenaan yang bekerja sebagai pemandu lori adalah rakyat tempatan. Semakan mendapati lelaki itu mempunyai lapan rekod jenayah lampau dan dikehendaki bersabit satu kes membabitkan Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dijumpai pagi ini jam 8.45 pagi, tersangkut di pokok paya bakau berhampiran tempat mangsa terjun.

myMetro 11 Dis 2015



0 comments:

Post a Comment